Israel perlu ditekan hentikan keganasan - PM

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia menegaskan bahawa perdamaian hanya akan tercapai jika Israel ditekan untuk menghentikan tindakan provokatif dan keganasan terhadap negara lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sikap agresif rejim Zionis yang menyerang dan membunuh orang awam pasti akan mengundang tindak balas daripada pihak seperti Iran.

“Kita telah tegas menyatakan untuk perdamaian sebenarnya, Israel harus ditekan supaya tidak bersikap provokatif dan ganas terhadap negara lain.

“Bila serang, bunuh orang, tentu ada tindak balas dari Iran. Jadi kita ambil pendirian yang agak adil.

“Di Gaza terus dibunuh, termasuk wanita, anak-anak. Tapi sekarang diserang Iran dan Iran memilih untuk lawan,” katanya kepada pemberita di Kuching, Sarawak pada Ahad.

Sebelum ini, Amerika Syarikat (AS) menggugurkan enam bom 'bunker buster' ke atas kemudahan nuklear Fordo dan melancarkan puluhan serangan peluru berpandu krus dari kapal selam ke atas dua tapak lain dalam serangan menyasarkan program nuklear Iran, lapor Anadolu Agency (AA) memetik Fox News.

Menurut laporan itu, Presiden AS, Donald Trump memperincikan serangan berkenaan kepada hos TV Sean Hannity, dengan berkata, setiap bom 'bunker buster' seberat 15 tan digugurkan dari pesawat pengebom 'stealth' B-2 Amerika.

Dalam pada itu, Anwar turut menyifatkan campur tangan negara luar seperti AS dalam konflik Iran-Israel hanya akan memburukkan keadaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jika Selat Hormuz ditutup akibat ketegangan itu, ia akan memberi kesan besar kepada ekonomi dunia.

“Tetapi, bagi saya yang penting sekali nyawa manusia dan keadilan, kita kalau katakan tidak memilih, sekurang-kurangnya ambil keputusan, hentikan keganasan ini.

“Jangan izinkan Iran tindak balas. Tapi mengapa izinkan Israel bertindak begitu?

“Malaysia terpaksa suarakan, pendirian kita jangan sampai negara merdeka dan berdaulat tidak ada upaya untuk bercakap tentang hak, asasi dan keadilan,” ujarnya.

Anwar turut berharap akan ada perubahan positif dalam krisis tersebut dan rakyat sentiasa mendoakan kebaikan serta kemaslahatan semua pihak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!