Perak destinasi pelancongan domestik paling popular 2024

Sze Yee (dua dari kiri) ketika hadir menyempurnakan program Perarakan Kebudayaan Kampar dan Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Daerah Kampar di sini pada Sabtu. FOTO IHSAN MAJLIS DAERAH KAMPAR
Sze Yee (dua dari kiri) ketika hadir menyempurnakan program Perarakan Kebudayaan Kampar dan Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Daerah Kampar di sini pada Sabtu. FOTO IHSAN MAJLIS DAERAH KAMPAR
A
A
A

KAMPAR – Perak muncul sebagai negeri paling popular dalam kalangan pelancong domestik sepanjang tahun lalu, mengatasi Selangor dan Pahang.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, pencapaian itu berdasarkan laporan Survei Pelancongan Domestik 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menurutnya, seramai 10.2 juta pelancong domestik direkodkan berkunjung ke Perak pada tahun 2024, mengatasi Selangor (9.6 juta) dan Pahang (9.5 juta).

“Sebelum ini, Perak merekodkan peningkatan ketara kehadiran pelancong antarabangsa sebanyak tiga kali ganda. Kali ini, kita berjaya pula menjadi juara dalam kategori pelancongan domestik.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, termasuk pemain industri pelancongan, pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan tanah (PDT) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi kempen Tahun Melawat Perak 2024,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena program Perarakan Kebudayaan Kampar dan Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Daerah Kampar di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Promosi II Tourism Malaysia, Samuel Lee Thai Hung dan Pegawai Daerah Kampar, Nazrul Fazami Mohamad.

Sze Yee menjelaskan, antara daerah tumpuan pelancong di Perak ialah Kinta, Larut Matang dan Selama, Manjung, Kuala Kangsar serta Batang Padang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beberapa destinasi pelancongan utama yang mencatat kehadiran tinggi termasuk Teluk Batik, Lumut Waterfront, Pasar Malam Ipoh, Taman Rekreasi Gunung Lang serta Pulau Pangkor.

Jelasnya, kempen Tahun Melawat Perak 2024 terbukti berjaya apabila ia mencatat peningkatan 36.1 peratus pelancong domestik berbanding tahun sebelumnya.

Beliau turut berharap kejayaan tersebut dapat diteruskan menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Sudah tentu kita perlu mengekalkan momentum ini kerana tahun lepas kita kurang cabaran. Semasa Tahun Melawat Perak, saingan kita yang paling sengit adalah daripada Melaka. Namun, tahun hadapan merupakan Tahun Melawat Malaysia.

“Jadi, dari negeri paling utara hingga ke timur Malaysia, semua akan berebut dalam Tahun Melawat Malaysia ini. Maka, kita harus mengekalkan momentum ini, memang tiada pilihan lain,” katanya.

Terdahulu, Sze Yee menyertai lebih 1,000 pengunjung menyaksikan perarakan dan persembahan kebudayaan melibatkan lebih 2,000 peserta mewakili pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!