Sultan Kedah ingatkan penjawat awam jalankan tugas penuh integriti

Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah sempena Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-83, di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit pada Ahad.
Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah sempena Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-83, di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR – Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan peringatan kepada penjawat awam agar menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, telus, berintegriti serta bebas daripada sebarang salah laku dan penyalahgunaan kuasa.

Baginda bertitah, pemerkasaan pentadbiran awam merupakan tonggak utama dalam memastikan kemajuan dan kesejahteraan negeri ini dapat dicapai secara menyeluruh.

“Beta berharap semua penjawat awam sentiasa memperkukuh jati diri dan menunjukkan komitmen tinggi dalam tugas yang digalas demi kemakmuran bersama,” titah Baginda sempena Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-83 di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit, pada Ahad.

Sultan Sallehuddin turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh anggota pentadbiran Pegawai Tadbir Negeri Kedah, penjawat awam negeri dan Persekutuan, serta barisan hadapan termasuk pasukan keselamatan yang sentiasa menunjukkan dedikasi dalam memastikan kestabilan negeri terpelihara.

Baginda juga menyambut baik usaha kerajaan negeri dalam merencana pembangunan ekonomi negeri demi menjamin kesejahteraan rakyat, selain menzahirkan rasa syukur atas prestasi pelaburan Kedah yang terus menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan.

“Ini mencerminkan kepercayaan pelabur terhadap potensi Kedah sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan stabil.

“Namun, Beta ingin tegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi negeri mestilah bersifat menyeluruh, inklusif dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” titah Baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah, tumpuan strategik harus diberikan kepada sektor berimpak tinggi yang mampu menjana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta memberikan limpahan ekonomi kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Selaras dengan aspirasi The Greater Kedah dan Pelan Pembangunan Kedah 2035, Beta mahu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diberi peluang menyertai rantaian bekalan utama dalam projek pelaburan negeri,” titah Baginda.

Sultan Kedah juga memandang serius keperluan memastikan pendidikan awal yang holistik, bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, tetapi turut memperkukuh sahsiah dan kepimpinan pelajar.

“Melalui pendidikan berkualiti, kita bukan sahaja melahirkan individu cemerlang, malah insan yang mampu memupuk nilai perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat,” titah Baginda.

Baginda turut menzahirkan rasa bangga atas kejayaan Kedah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025, yang membuktikan kejayaan berterusan dalam memperkukuh institusi hafazan negeri.

“Beta mahu peranan Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR) diperkasakan untuk melahirkan lebih ramai huffaz berkualiti dan mengangkat kembali martabat Kedah sebagai pusat ilmu al-Quran yang unggul,” titah Baginda.

Sebelum mengakhiri titah, Sultan Sallehuddin menyeru agar setiap kejayaan yang dikecapi tidak hanya dinikmati secara peribadi, sebaliknya dijadikan sebagai amanah dan tanggungjawab untuk menyumbang kembali kepada negeri.

“Beta sarankan agar anak-anak Kedah yang telah berjaya tampil memberikan sumbangan sama ada dalam bentuk zakat, sedekah, wakaf, pelaburan, tenaga kepakaran mahupun inisiatif sosial demi kemajuan negeri.

“Beta percaya, jika setiap anak Kedah yang berjaya memberikan kembali kepada negeri, Kedah akan terus makmur, berdaya saing dan disegani. Inilah semangat Kedah Sejahtera – bukan sekadar slogan, tetapi satu usaha bersama,” titah Baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!