Kebergantungan orang Melayu

Wawancara eksklusif bersama ikon negarawan Dr Mahathir bagi merungkai persepsi dan dakwaan yang mengeruhkan dunia politik negara. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI
Wawancara eksklusif bersama ikon negarawan Dr Mahathir bagi merungkai persepsi dan dakwaan yang mengeruhkan dunia politik negara. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI
A
A
A

TANGGAL 1 Mac 2020, negara menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila tampuk pimpinan utama Malaysia bertukar tangan menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Sebelum itu, selama seminggu Tun Dr Mahathir Mohamad diberi kesempatan sebagai Perdana Menteri Interim dan sepanjang tempoh itu pelbagai spekulasi timbul mengenai calon atau pengganti kepada jawatan tersebut.

Apabila Muhyiddin diumumkan sebagai Perdana Menteri kelapan, timbul desas-desus mengatakan hubungannya dengan Dr Mahathir sedikit dingin susulan dakwaan dirinya adalah pengkhianat yang memulakan tindakan kerajaan ‘pintu belakang’.

Sinar Harian berkesempatan mengadakan pertemuan dan wawancara eksklusif bersama ikon negarawan Dr Mahathir bagi merungkai persepsi dan dakwaan yang mengeruhkan dunia politik negara.

Ikuti transkrip penuh wawancara bersama Dr Mahathir. Wawancara ini ialah interviu pertama Dr Mahathir dengan organisasi media selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Ketujuh.

SINAR HARIAN: Walaupun berada di kerusi pembangkang tetapi Tun masih berbisa.

DR MAHATHIR: Itu sebab orang bertanya dan minta tolong. Saya jika ada kepentingan untuk kurangkan perbezaan antara Melayu dengan Cina, saya akan usahakan. Sejak dulu lagi, dan anda boleh lihat rekod-rekod saya bermula dengan penulisan buku The Malay Dilemma dan sebelum itu lagi.

Orang lain tak nampak benda yang saya tulis tetapi saya nampak, misalnya isu Padi Kunca (sistem pinjaman melibatkan cara pembayaran menggunakan hasil padi) tetapi orang sekarang ini tak tahu. Ketika saya kecil, Padi Kunca memberi tekanan terhadap peladang. Kerana peladang kurang kemahiran dalam bak mengira.

Artikel Berkaitan:

Saya tengok di Alor Setar, ada pekan Melayu, ada pekan Cina tetapi pekan Melayu pun ada Cina juga, jadi mana perginya orang Melayu.

Jadi saya cuba ubah supaya orang Melayu setaraf dengan kaum-kaum yang lain, bukan saya nak kata kaum lain nyah pergi. Kita perlu kepada mereka tetapi janganlah mereka jadi kaya tetapi kita tetap miskin.

Kita tinggal di kampung dalam keadaan yang kurang selesa sebaliknya mereka duduk di bandar. Sampai bila dan saya dah beritahu kepada ahli-ahli parti Melayu dan orang Melayu sendiri.

Saya bagi jangka masa 20 hingga ke 30 tahun di mana orang Melayu akan menjadi kuli dan bekerja untuk orang lain di negara kita sendiri kerana ekonomi kita masih lemah.

Kita miskin dan kita jual tanah. Bandar Kuala Lumpur dulu kecil. Daripada 300,000 penduduk, sekarang ini sudah sampai tujuh juta.

Kita lihat keliling bandar Kuala Lumpur, kalau dulu di luar kawasan perniagaan adalah (tempat tinggal orang) Melayu seperti di Kampung Kerinchi, Kampung Abdullah Hukum, Kampung Penchala, tetapi sekarang ini di mana (mereka pergi)? Semua sudah tiada kerana kita miskin dan kita jual.

Wawancara eksklusif bersama ikon negarawan Dr Mahathir bagi merungkai persepsi dan dakwaan yang mengeruhkan dunia politik negara. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI
Wawancara eksklusif bersama ikon negarawan Dr Mahathir bagi merungkai persepsi dan dakwaan yang mengeruhkan dunia politik negara. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI

Apabila kita jual, kita ambil duit itu, kita pergi beli tanah jauh sikit dari bandar tetapi bandar makin membesar sampai ke tempat kita. Harga tanah kita naik dan orang minta hendak beli, kita jual.

Kemudian kita pindah jauh lagi dari bandar, ini yang saya tunjuk kepada orang Melayu yang sedang berlaku di depan mata saya. Saya kata kalau macam ini tidak lama lagi kita masih boleh panggil negara ini Malaysia tetapi ia bukan Tanah Melayu lagi. Kampong Bahru tak boleh jual sebab ia tanah Rizab Melayu tetapi Kampung Abdullah Hukum, Kampung Penchala, Kampung Kerinchi semua dah habis dijual. Kita mengundur, dulu di tengah-tengah bandar (Kuala Lumpur) ini ramai orang Melayu.

Saya tahu sebab ada keluarga saya duduk di Kuala Lumpur, di Kampong Bharu tetapi sekarang ini dah hilang ke mana tetapi rumahnya masih ada lagi.

Keadaan ekonomi negara terjejas dengan ancaman penularan wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini. Adakah Tun menjangkakan negara kita akan terus mengalami kemelesetan ekonomi serius dalam masa terdekat?

Memang pun kita hadapi cabaran yang amat besar. Sebelum Covid-19 pun, ekonomi merosot. Ia merosot disebabkan keadaan ekonomi dunia tidak stabil seperti perang perdagangan China-Amerika Syarikat, Eropah mengalami masalah besar disebabkan Brexit. Yang tumbuh (ekonomi) pun hanyalah China.

China tumbuh dan rakan dagang kita terbesar adalah negara itu. Tetapi China kini diserang Covid-19 menyebabkan mereka tidak boleh berniaga, tidak boleh keluar barang, tidak boleh beri barang. Kalau dahulu kita boleh jual durian musang king banyak mana pun, mereka beli. Sekarang mereka tidak boleh. Harga durian pun jatuh.

Jadi ini masalah yang menekan dunia dan kita turut tertekan. Datang pula Covid-19, (maka) usaha hendak pulih menjadi sukar.

Umpamanya dahulu pendapatan forex currency kedua terbesar datang daripada pelancongan. Hotel, kapal terbang, agensi pelancong, semua ini bergantung kepada pelancongan. Sekarang pelancong makin kurang datang. Ini akan menyebabkan industri berkaitan penerbangan, pelancongan dan semua yang berkaitan akan terjejas teruk. Ekonomi kita akan jatuh.

Pendapatan negara daripada minyak kini sudah jatuh sehingga AS$30 dolar setong berbanding harga asal AS$70 setong. Walaupun kita bukan pengeluar minyak mentah terbesar di dunia tetapi minyak merupakan punca utama forex exchange bagi negara kita.

Jadi semua ini memerlukan kecekapan dalam bidang ekonomi. Walaupun ada pakej rangsangan ekonomi, tetapi kalau kita tidak cekap dalam menguruskannya, kita masih akan menghadapi masalah ekonomi.

Pada minggu lepas dalam Sinar Harian ada yang mengatakan Tun diminta berhenti, berundur sebanyak 32 kali. Benarkah ia berlaku?

Yang itu dalam (mesyuarat) Majlis Tertinggi Bersatu. Dalam Majlis Tertinggi Bersatu saya dapati semua hentam saya. Bahkan orang yang benci kepada Muhyiddin tiba-tiba berkata bahawa mereka sekarang ini sokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri atau sebagai pemimpin parti dan tidak saya. Ramai juga yang tolak saya. Jadi (saya dapat sokongan) minoriti, empat lima orang sahaja yang bersetuju dengan saya supaya saya tidak mengambil apa-apa tindakan (seperti) sekarang.

Tun ialah seorang ahli politik yang istimewa. Tun sempat tengok UMNO ditubuhkan, Pas berpecah daripada UMNO, PKR diwujudkan beberapa puluh tahun lepas dan kemunculan Bersatu. Tun tengok kewujudan keempat-empat parti mewakili Melayu di depan mata Tun. Parti mana yang boleh bertahan?

Sebenarnya UMNO adalah parti mulia. UMNO berjuang lawan Malayan Union, berjuang memerdekakan negara dan sepatutnya ia juga terlibat dalam pembangunan negara. Malangnya apabila saya letak jawatan (pada tahun 2003) saya berharap orang yang lebih muda daripada saya akan terus majukan negara. Tetapi mereka tidak.

Mengapa karakter pemimpin Melayu berubah apabila mereka mendapat kuasa?

Bila kita cari yang mudah... orang Melayu suka yang mudah. Yang susah dia tidak hendak. Jadi tabiat itu masih ada tersemai dalam sanubari orang Melayu. Dia cari cara mudah seperti dapat kontrak, jual kontrak (untuk) dapat duit cepat. Habis duit, hendak minta kontrak lagi.

Sebaliknya kalau dia buat kontrak, dia akan dapat keuntungan. Tambahan dia boleh besarkan perniagaan. Yang itu susah, dia hendak urus, hendak jaga susah. Saya sendiri pun buka kedai roti. Saya sendiri pun hadapi masalah dengan orang Melayu.

Tidak kerja kuat. Kadangkala tidak amanah. Saya berkali-kali cuba jelaskan bahawa orang Melayu lemah bukan kerana tidak berkebolehan. Tetapi berpegang kepada nilai hidup tidak baik. Umpamanya hendak mencari kekayaan cepat. Kekayaan cepat akan membawa kepada kemiskinan cepat.

Selepas Pakatan Harapan jatuh, pemimpin Pakatan Harapan sudah membuat siri ceramah, jumpa orang ramai menceritakan apa yang berlaku dan sebagainya. Adakah Tun fikir langkah itu wajar dalam keadaan sekarang?

Rakyat mesti sedar tentang apa yang berlaku kerana kita boleh belajar banyak daripada peristiwa-peristiwa ini. Yang menjadi masalah kepada kita ialah kita tidak dapat membuat perhitungan baik berkenaan keadaan politik walaupun kita berminat dengan politik.

Umpamanya, orang Melayu bila kita merdeka adalah 60 peratus daripada pengundi-pengundi. Tetapi kita berpecah. Mula-mula berpecah ialah Pas. Pas keluar (UMNO), kita sudah tiada majoriti 60 peratus pengundi, tetapi terbahagi UMNO (40 peratus) dan Pas (20 peratus).

Sekarang kalau hendak menang, mesti dapat sokongan orang bukan Melayu. Jadi mereka menjadi kingmaker kerana kerana kita berpecah, kita berlawan sesama kita. Selepas itu kita berpecah lagi dengan Tengku Razaleigh (Hamzah) menubuhkan Semangat 46, Anwar Ibrahim menubuhkan Keadilan (PKR). Jadi kita berpecah lagi sebanyak enam bahagian.

Kita hilang kuasa politik. Sebab itu saya kata walaupun kita hendak main politik, tetapi kita tidak berapa bijak dalam bidang politik.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M tidak peduli bagaimana dirinya akan dikenang