Thailand di ambang kudeta lagi?

Paetongtarn (tengah) bertemu dengan anggota tentera di Markas Operasi Morakot di wilayah Ubon Ratchathani pada Jumaat selepas beliau kini berdepan desakan supaya berundur.
Paetongtarn (tengah) bertemu dengan anggota tentera di Markas Operasi Morakot di wilayah Ubon Ratchathani pada Jumaat selepas beliau kini berdepan desakan supaya berundur.
A
A
A

BANGKOK - Insiden rampasan kuasa di Thailand bukanlah perkara luar biasa di negara itu yang telah menyaksikan 12 kudeta sejak penubuhan monarki berperlembagaan pada 1932 dan jawatan Perdana Menteri seperti satu 'badi' buat sesiapa sahaja yang menyandangnya.

Krisis politik sekali lagi melanda negara Gajah Putih itu selepas Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra berdepan desakan untuk meletak jawatan meskipun baru mentadbir Thailand selama kira-kira 10 bulan.

Pakar dan pemerhati politik percaya Perdana Menteri paling muda itu akan digulingkan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Beliau akan menerima nasib seperti bapanya, Thaksin yang disingkirkan pada 2006 manakala ibu saudaranya, Yingluck juga berdepan situasi serupa pada 2014.

Paetongtan mungkin akan digulingkan oleh rampasan kuasa atau gerakan politik berikutan banyak pihak mula mencabar kedudukannya selepas klip audio antara beliau dengan bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen tersebar.

Ketika ulang tahun ke-11 memperingati insiden rampasan kuasa pada 2014, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Phumtham Wechayachai berkata, Thailand telah mencapai kemajuan demokrasi yang ketara, namun beliau tidak menolak tiada lagi kudeta pada masa akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, Speaker Senat, Jeneral Sawat Tatsana telah mengemukakan petisyen meminta Mahkamah Perlembagaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACC) agar memecat Paetongtarn setelah dokumen yang turut ditandatangani beberapa senator itu mendakwa beliau melanggar etika, tidak mempunyai kredibiliti dan keupayaan untuk menggalas peranan susulan kenyataannya mengkritik tindakan tentera sendiri berhubung pertempuran sempadan yang mengundang kemarahan ramai.

Selain itu, bekas pemimpin dari seluruh spektrum politik telah bergabung di bawah pakatan baharu 'Bersatu untuk Negara' bagi menuntut pengunduran Paetongtarn ketika peserta protes 'Baju Kuning' yang membuat tuntutan sama kembali berdemonstrasi. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!