KWSP perkukuh i-Saraan, lindungi pekerja gig, sektor tidak formal

KWSP memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial dengan menambah baik insentif program i-Saraan khusus untuk pekerja gig dan sektor tidak formal. Gambar hiasan, gambar kecil: Mohd Zuki
KWSP memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial dengan menambah baik insentif program i-Saraan khusus untuk pekerja gig dan sektor tidak formal. Gambar hiasan, gambar kecil: Mohd Zuki
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial dengan menambah baik insentif program i-Saraan khusus untuk pekerja gig dan sektor tidak formal.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, bermula tahun ini sumbangan padanan kerajaan bagi i-Saraan telah dinaikkan kepada 20 peratus dengan had maksimum RM500 setahun dan jumlah keseluruhan sumbangan sepanjang hayat pula ditingkatkan sehingga RM5,000.

Katanya, langkah itu mencerminkan keperluan menyesuaikan sistem persaraan negara dengan perubahan dalam dunia pekerjaan moden.

Menurut beliau lagi, inisiatif tersebut juga dilihat sebagai satu langkah pengiktirafan terhadap keperluan menyesuaikan sistem persaraan dengan realiti baharu pekerjaan terutama dalam kalangan pekerja bebas dan tidak bergaji tetap.

“Setakat tahun lalu, seramai 1.2 juta rakyat Malaysia telah mencarum secara sukarela melalui i-Saraan dan hampir 70 peratus daripada jumlah tersebut merupakan individu di luar sektor pekerjaan formal, termasuk pekerja gig dan mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal dengan jumlah caruman sebanyak RM13.7 bilion.

“Daripada jumlah tersebut, lebih 520,000 ahli telah mencarum melalui program i-Saraan dengan jumlah caruman keseluruhan sebanyak RM2.6 bilion,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memuji usaha berterusan KWSP dalam mencari pendekatan baharu bagi meningkatkan kecukupan pendapatan persaraan rakyat Malaysia.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata penglibatan KWSP bersama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain mencerminkan satu bentuk perkongsian awam-swasta yang kukuh, yang turut menyumbang kepada peningkatan infrastruktur penjagaan kesihatan, kebolehcapaian dan kualiti perkhidmatan, serta mewujudkan sistem sokongan menyeluruh untuk rakyat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Zuki menyifatkan, penyertaan tinggi itu sebagai bukti bahawa inisiatif seumpama ini mampu merapatkan jurang perlindungan sosial yang sebelum ini tertumpu kepada sektor pekerjaan formal.

Jelasnya, KWSP kini sedang merangka hala tuju baharu sistem persaraan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada perlindungan.

Tambah beliau, pendekatan tersebut juga penting dalam usaha membina daya tahan kewangan dalam kalangan rakyat, terutama ketika negara berdepan isu penuaan penduduk dan jangka hayat yang semakin panjang.

“Inisiatif i-Saraan bukan sahaja memberi peluang kepada pekerja gig untuk membina simpanan hari tua, malah menawarkan saluran sokongan kewangan berstruktur yang boleh mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan kelak.

“Kita mahu pekerja dalam sektor gig dan tidak formal merasa mereka juga layak untuk dilindungi dan dihargai. Mereka menyumbang kepada ekonomi negara, maka mereka juga berhak mendapat jaminan masa depan yang stabil.

"Kami juga menyedari bahawa kecukupan persaraan mesti dibina berasaskan gaji yang adil dan penyertaan yang inklusif.

"Oleh itu, semua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan, termasuk KWSP, telah melaksanakan dasar gaji kehidupan wajar dan kami akan terus bekerjasama dengan syarikat-syarikat pelaburan kami untuk menggalakkan pekerjaan yang bermaruah sebagai asas kepada kemakmuran jangka panjang,” ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!