PM puji usaha KWSP tingkat kecukupan pendapatan persaraan

Anwar melawat reruai pameran selepas Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 anjuran KWSP di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Bernama
Anwar melawat reruai pameran selepas Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 anjuran KWSP di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini memuji usaha berterusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam mencari pendekatan baharu bagi meningkatkan kecukupan pendapatan persaraan rakyat Malaysia.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata penglibatan KWSP bersama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain mencerminkan satu bentuk perkongsian awam-swasta yang kukuh, yang turut menyumbang kepada peningkatan infrastruktur penjagaan kesihatan, kebolehcapaian dan kualiti perkhidmatan, serta mewujudkan sistem sokongan menyeluruh untuk rakyat.

“Kita perlu mengiktiraf dan menghargai KWSP yang mencapai prestasi sangat baik dan yang terus mencari pendekatan baharu untuk meningkatkan kecukupan pendapatan persaraan,” katanya menerusi ucapan perasmian di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, ketika jangka hayat rakyat semakin meningkat, tumpuan perlu beralih daripada simpanan sekali gus kepada pendapatan persaraan yang berterusan.

“Kita juga mesti mula memikirkan tentang cara membina sistem yang mencerminkan perpaduan yang lebih utuh, terutamanya bagi mereka yang mempunyai pendapatan seumur hidup yang terhad.

“Dalam wawasan kerajaan, rakyat yang menginjak usia tua tidak seharusnya perlu bimbang tentang kemiskinan, tentang dipinggirkan atau bimbang bahawa diri mereka tidak lagi relevan,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!