JPJ cadang batal lesen penerima Program MyLesen terlibat aktiviti rempit

JPJ cadang batal lesen penerima program MyLesen terlibat aktiviti rempit

Penerima Program MyLesen B2 yang terlibat dalam aktiviti rempit akan berdepan dengan tindakan tegas sehingga melibatkan pembatalan lesen. - Gambar hiasan. (Gambar kecil: Aedy Fadly)
Penerima Program MyLesen B2 yang terlibat dalam aktiviti rempit akan berdepan dengan tindakan tegas sehingga melibatkan pembatalan lesen. - Gambar hiasan. (Gambar kecil: Aedy Fadly)
A
A
A

BUTTERWORTH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang untuk membatalkan lesen motosikal penerima Program MyLesen B2 sekiranya mereka didapati terlibat dalam aktiviti merempit atau melakukan kesalahan jalan raya lain.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata beliau telah mengarahkan Pengarah Bahagian Pelesenan Pemandu untuk meneliti perkara tersebut sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan telah memperuntukkan dana yang besar bagi melaksanakan program itu bagi memudahkan golongan B40 memperoleh lesen memandu kelas B2, justeru penerima subsidi tersebut perlu mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.

“Penerima lesen melalui subsidi kerajaan ini akan direkodkan berasingan dalam sistem JPJ sebagai penerima Program MyLesen. Jadi, kalau mereka ditahan di luar, kita akan ambil tindakan sehingga ke tahap pembatalan lesen tersebut.

“Kalau nak ambil (lesen) semula, mereka perlu memohon semula kepada institusi atau sekolah memandu, membuat bayaran dan menduduki ujian dari mula sehingga memperoleh lesen. Ini saya ingin ingatkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 Tahun 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang, di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata Program MyLesen bagi tahun ini turut diperluas kepada pelajar sekolah menengah, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta belia, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan untuk membantu golongan B40 memiliki lesen memandu sah, sekali gus memperluas akses kepada peluang pekerjaan, khususnya dalam sektor ekonomi gig.

“Bagi menjayakan pelaksanaan program ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5.8 juta tahun ini yang merangkumi keseluruhan kos latihan dan pengeluaran lesen kepada 15,000 peserta terpilih di seluruh negara, manakala di Pulau Pinang sahaja, program ini melibatkan 993 orang berusia 16 tahun ke atas,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!