Iran, Israel terus berbalas serangan


TEHERAN - Ketegangan antara Iran dan Israel terus memuncak apabila kedua-dua negara kembali melancarkan serangan pada Khamis, memasuki hari ketujuh konflik bersenjata yang mengorbankan puluhan nyawa termasuk orang awam dan pegawai kanan tentera.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam kenyataan terbaharunya berkata, beliau masih belum membuat keputusan sama ada Washington akan menyertai tindakan ketenteraan bersama Israel atau tidak, sambil menyatakan terdapat kemungkinan besar rundingan damai dapat diadakan dengan Iran dalam tempoh terdekat.

Trump berkata, keputusan sama ada AS akan terlibat dalam operasi ketenteraan akan dibuat dalam tempoh dua minggu lagi, sambil menambah bahawa masih terdapat 'peluang besar' bagi diplomasi berjalan.
Dalam pada itu, satu pusingan rundingan nuklear baharu antara Iran dan negara Eropah dijadual berlangsung di Geneva pada Jumaat, dengan penyertaan Britain, Perancis, Jerman, Kesatuan Eropah serta wakil khas Iran, Abbas Araghchi.

Bagaimanapun, laporan Wall Street Journal mendedahkan Trump sebenarnya telah meluluskan pelan serangan ketenteraan ke atas Iran namun memilih untuk menangguhkannya bagi memberi laluan kepada kemungkinan Teheran menghentikan program nuklearnya.
Rusia yang menjadi sekutu Iran memberi amaran bahawa sebarang tindakan ketenteraan oleh Amerika Syarikat akan menjadi satu langkah yang sangat berbahaya, manakala kumpulan pro-Iran di Iraq pula mengugut akan melakukan serangan balas terhadap kepentingan AS dan Israel.

Di selatan Israel, Hospital Soroka di Beersheba dilaporkan terbakar selepas menjadi sasaran serangan peluru berpandu Iran. Pengarah hospital, Shlomi Codish mengesahkan seramai 40 individu cedera dalam serangan itu. Teheran mendakwa sasaran utama mereka adalah sebuah pangkalan tentera dan perisikan berhampiran, dan bukannya hospital terbabit.

Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa menggesa semua pihak mematuhi undang-undang antarabangsa yang melindungi kemudahan perubatan, manakala Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk menyifatkan penderitaan orang awam dalam konflik ini sebagai sangat menyedihkan dan tidak wajar berlaku.

Dalam serangan balas, tentera Israel mendakwa mereka telah mengebom reaktor nuklear tidak aktif di Arak dan kemudahan pengayaan uranium di Natanz bagi menghalang pemulihan semula tapak strategik itu. Iran menyifatkan tindakan itu sebagai biadab dan melanggar undang-undang antarabangsa, selain mendesak Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengambil tindakan segera.

Netanyahu dalam satu temu bual pula mendakwa Israel telah memusnahkan lebih separuh daripada pelancar peluru berpandu milik Iran sejak Jumaat lalu. Iran bagaimanapun tidak berdiam diri apabila Pasukan Pengawal Revolusi melancarkan lebih 100 dron tempur dan dron kamikaze ke arah Israel pada Khamis, manakala media Iran melaporkan beberapa siri letupan turut berlaku di sekitar ibu kota Teheran.

Di Israel, pihak berkuasa menemui mayat wanita warga Ukraine yang menjadi mangsa serangan peluru berpandu Iran empat hari lalu, menjadikan jumlah korban di negara itu meningkat kepada 25 orang. Iran pula melaporkan angka kematian mencecah 224 orang termasuk komander tentera dan saintis nuklear, namun tiada kemas kini rasmi setakat ini.
Sementara itu, Iran turut mengumumkan penahanan 24 individu yang disyaki menjadi ejen Israel serta cuba menggugat kestabilan negara. Sejak perang bermula, kedua-dua negara telah menahan ramai suspek yang didakwa terlibat dalam aktiviti perisikan, dan menurut pertubuhan Iran Human Rights yang berpangkalan di Norway, sekurang-kurangnya 223 orang telah ditahan atas tuduhan bekerjasama dengan Israel, namun angka sebenar dipercayai lebih tinggi. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!