Trump beri bayangan tidak sokong calon Republikan pada pilihan raya presiden 2028

ISTANBUL - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata beliau mungkin tidak akan memberikan sokongan kepada mana-mana calon untuk menggantikannya pada pilihan raya presiden 2028, sambil membayangkan bahawa tidak campur tangan dalam persaingan itu mungkin pilihan lebih baik, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam temu bual bersama program 60 Minutes terbitan CBS, Trump ditanya sama ada beliau akan memberikan sokongan kepada bakal penggantinya.
"Mungkin. Tidak semestinya," jawabnya sebelum menambah, "Mungkin lebih baik saya tidak campur tangan."
Ketika ditanya mengenai individu lain yang dianggap berpotensi menggantikannya selain Naib Presiden JD Vance, Trump memuji Setiausaha Negara Marco Rubio dan menyifatkannya sebagai calon yang berkaliber.
"Saya rasa Marco seorang yang hebat. Beliau sememangnya menyukai tugasnya dan menunjukkan prestasi yang sangat baik. Beliau menjalankan tugas dengan cemerlang.
"Beliau antara individu yang dipertimbangkan, tetapi terdapat ramai lagi dan saya lebih suka tidak menyebut nama mereka. Ada beberapa senator yang sangat cemerlang. Saya mengenali mereka semua dan amat menyukai mereka," katanya.
Walaupun belum pasti sama ada akan menyokong mana-mana calon, M NK MOKKUTrump menegaskan bahawa sokongannya mampu memberikan pengaruh besar dalam Parti Republikan.
"Saya fikir ia akan memainkan peranan besar jika saya berbuat demikian kerana sokongan yang saya berikan selama ini mempunyai pengaruh yang sangat kuat," katanya.
Susulan kekalahan besar Parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa, Trump berkata beliau percaya gerakan politik Make America Great Again (MAGA) yang dipeloporinya mampu diteruskan walaupun selepas beliau meninggalkan jawatan.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa gerakan itu akan kekal relevan selepas tamat tempoh pentadbirannya.
"Saya rasa begitu kerana MAGA pada asasnya berteraskan pemikiran yang waras," katanya.
Trump mengaitkan kekalahan Parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal itu sebahagiannya dengan "kelemahan penyampaian mesej", sambil menegaskan bahawa sokongan rakyat terhadap pendekatannya dalam menangani perang dengan Iran kekal "luar biasa", meskipun beberapa tinjauan pendapat menunjukkan sebaliknya.
Beliau berhujah bahawa rasa tidak puas hati orang ramai terhadap dasar ekonominya tidak mempunyai kaitan dengan perang di Iran.
Sebaliknya, Trump menyifatkan masalah komunikasi sebagai antara kemungkinan punca prestasi buruk Parti Republikan.
"Penyampaian mesej yang lemah, mungkin berpunca daripada saya, tetapi saya sering bercakap mengenainya. Jadi saya tidak tahu, berapa banyak lagi saya perlu bercakap tentang perkara itu," katanya.
Ketika diminta menjelaskan maksud "kelemahan penyampaian mesej", Trump berkata pentadbirannya gagal menyampaikan mesej secara berkesan kepada pengundi.
"Kami gagal menyampaikan mesej itu," kata Trump, walaupun sebelum itu beliau menyatakan dalam temu bual sama bahawa beliau telah mengadakan puluhan perhimpunan kempen menjelang pilihan raya pertengahan penggal.
Trump turut mengkritik media dengan menuduh organisasi berita gagal "melaporkan berita positif mengenai Parti Republikan". - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
