AS jangan campur tangan, biar Israel tanggung akibat sendiri - Amanah

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan bahawa Amerika Syarikat (AS) tidak wajar campur tangan dalam konflik ketenteraan antara Israel dan Iran, sebaliknya membiarkan Israel menanggung akibat daripada tindakan agresif yang dimulakannya sendiri.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, Israel telah melancarkan serangan terhadap Iran secara unilateral dengan keyakinan mampu menundukkan negara itu melalui pembunuhan tokoh ketenteraan serta saintis nuklear utama.
“Namun, serangan balas Iran yang tidak dijangka telah melemahkan kedudukan Israel sehingga menyebabkan rejim Zionis kini terpaksa merayu campur tangan Amerika Syarikat untuk menyelamatkannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, rayuan itu menggambarkan situasi terdesak Israel yang dipercayai sedang berdepan kekurangan stok sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome, dan kini amat bergantung kepada kekuatan ketenteraan AS.
“Israel hanya akan terselamat jika Amerika terlibat. Tetapi Amanah berpandangan, AS tidak harus terbabit. Iraq dan Syria telah musnah akibat campur tangan AS demi kepentingan Israel. Ratusan tentera AS terkorban, dan trilion dolar dibelanjakan, namun Israel terus mencetuskan peperangan,” katanya.
Khalid turut mengingatkan tentang kenyataan semasa kempen Donald Trump ketika bertanding sebagai Presiden, yang berjanji melaksanakan dasar ‘tiada lagi peperangan’ dan mengelakkan tercetusnya Perang Dunia Ketiga.
“Apa yang berlaku kini bertentangan dengan janji itu. Jika AS menyerang Iran, ia boleh mencetuskan konflik berskala global yang melibatkan kuasa besar seperti Rusia dan China yang mungkin tampil membela Iran.
“Dan semua ini demi Israel, sebuah negara apartheid dan pengganas Zionis yang terus melanggar undang-undang antarabangsa serta terlibat dalam jenayah perang terhadap kanak-kanak, wanita dan warga emas,” tegas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!