Peguam isteri Fikry Ibrahim kunci mulut

KUALA LUMPUR – Status rumah tangga pelakon Fikry Ibrahim dan isterinya, Siti Khalizah Alihan terus menjadi bualan hangat warga net, apabila kedua-duanya dilihat memilih jalan damai hanya beberapa jam selepa wanita itu hadir di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada Khamis.
Perkongsian terbaharu Khalizah di media sosial juga dilihat seolah-olah memberi bayangan bahawa beliau telah 'berdamai' dengan suaminya, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa permohonan cerainya mungkin ditarik balik.
Bagaimanapun, ketika dihubungi media, peguam syarie yang mewakili Khalizah, Wan Muhammad Afiq Mohd Razib, enggan memberikan sebarang kenyataan lanjut mengenai perkembangan pasangan berkenaan.

“Kami tiada lagi kenyataan terkini, mohon tunggu tarikh seterusnya…” ujarnya ringkas.
Terdahulu, kemelut rumah tangga pasangan selebriti ini tular di media sosial selepas prosiding perceraian mereka berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
Fikry ketika bersiaran langsung dalam satu program televisyen menafikan dakwaan kononnya sengaja mencipta publisiti murahan dan menyatakan kesediaannya untuk berdepan isu rumah tangganya dengan penuh tanggungjawab.
“Sebagai suami, saya sudah berjanji dan mengambil tanggungjawab untuk menjaga isteri dengan baik. Saya akan pertahankan keluarga selagi mana mampu,” katanya.
Sementara itu, Siti Khalizah turut memuat naik hantaran ringkas di InstaStory beberapa hari lalu:
“Terima kasih kepada yang mendoakan kebahagiaan kami @fikryibrahim.”
Ucapan itu sekali gus mencetuskan harapan dalam kalangan peminat bahawa hubungan mereka masih boleh diselamatkan meskipun sedang diuji badai rumah tangga.
Untuk rekod, Fikry dan Siti Khalizah melangsungkan pernikahan secara tertutup pada 12 Februari 2025 di Jitra, Kedah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!