Bangkai penyu agar ditemui terapung ketika kempen pemuliharaan di Pulau Redang

KUALA NERUS – Sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menemui bangkai seekor penyu ketika kempen pemuliharaan haiwan berkenaan dan ekosistem marin di Pantai Teluk Dalam sekitar Pulau Redang, di sini pada Jumaat.
Bangkai penyu daripada spesies agar itu dijumpai terapung oleh kumpulan penyelidik diketuai Prof Madya Dr Mohd Uzair Rusli ketika meninjau lokasi sekitar pulau berkenaan.
Menurut Dr Uzair, penyu betina dianggarkan berusia kira-kira 10 tahun itu dipercayai telah mati beberapa hari lalu.
Katanya, penemuan bangkai haiwan tersebut memberi isyarat jelas bahawa habitat dan keselamatan penyu masih berada dalam ancaman besar.
"Kami akan membawa bangkai penyu ini ke makmal UMT untuk dianalisis bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya sama ada akibat pencemaran, tertelan plastik, terkena enjin bot atau faktor lain,” katanya di sini, pada Jumaat.

Beliau yang merupakan pakar dalam bidang biologi marin dan konservasi penyu berkata, penemuan bangkai penyu itu menjadi peringatan kepada semua pihak bahawa pencemaran, perubahan iklim dan gangguan manusia seperti pembuangan sampah dan aktiviti tidak terkawal boleh membawa impak besar terhadap hidupan laut.
"Pencemaran, aktiviti manusia dan perubahan iklim boleh memberi kesan besar terhadap hidupan marin sekiranya tidak ditangani dengan serius," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, kawasan perairan pelancongan seperti Pulau Redang yang kaya dengan biodiversiti marin memerlukan penguatkuasaan dan pemantauan lebih ketat bagi memastikan kelestarian ekosistem tidak terus terancam.
"Penyu berperanan mengekalkan keseimbangan ekosistem terumbu karang dan populasi obor-obor. Kehilangannya boleh memberi kesan berantai kepada keseluruhan sistem laut.
"Kempen pemuliharaan ini merupakan sebahagian daripada program jangka panjang UMT dalam mendidik masyarakat serta pelancong tentang kepentingan penyu dalam ekosistem laut, selain menjalankan penyelidikan berkaitan pemuliharaan marin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!