Ibu mentua maut dalam kebakaran, PM doakan kekuatan buat Hamzah sekeluarga

Hamzah ketika ditemui di Masjid Jamek Kampung Melayu Sungat Rapat Ipoh bagi mengiringi jenazah ibu mentuanya untuk disembahyangkan. Foto Bernama
Hamzah ketika ditemui di Masjid Jamek Kampung Melayu Sungat Rapat Ipoh bagi mengiringi jenazah ibu mentuanya untuk disembahyangkan. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin atas pemergian ibu mentuanya, Allahyarham Salmiah Nyak Matt, 84, yang terkorban dalam satu kebakaran di Kampung Sungai Rapat Tambahan, Perak pada Khamis.

Anwar berkata, beliau turut bersedih dengan tragedi menyayat hati itu dan mendoakan agar Hamzah serta seluruh keluarga terus diberi kekuatan menghadapi ujian tersebut.

“Takziah kepada Ketua Pembangkang YB Hamzah Zainudin atas kehilangan bonda mentua tercinta.

“Saya mendoakan agar beliau terus kuat dengan ujian dahsyat ini. Semoga ruh Allahyarhamah diampunkan segala dosanya dan diberi tempat yang istimewa oleh-Nya, Insya-ALLAH,” katanya dalam kenyataan di media sosial, pada Jumaat.

Menurut laporan sebelum ini, Allahyarham ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik bahagian bawah rumah oleh pasukan penyelamat dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kebakaran tersebut turut menyebabkan suaminya, Datuk Abdul Ghani Ngah, 83, mengalami sesak nafas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon memaklumkan, kejadian melibatkan sebuah rumah dua tingkat dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!