[VIDEO] Ibu mentua Hamzah Zainudin maut dalam kebakaran
IPOH - Ibu mentua kepada Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin maut dalam satu kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat di Kampung Sungai Rapat Tambahan di sini pada Khamis.
Mangsa, Salmiah Nyak Matt, 84, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang bilik bahagian bawah rumah oleh pasukan penyelamat dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, kejadian turut mengakibatkan suami mangsa, Abdul Ghani Ngah, 83, mengalami sesak nafas.
Menurutnya, panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu diterima pada jam 9.19 malam dan jentera pertama tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati api telah memusnahkan kira-kira 80 peratus ruang bilik di bahagian bawah rumah.
"Seorang wanita warga emas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik tersebut dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,
"Seorang lagi mangsa yang berada di tingkat atas rumah dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas," katanya dalam kenyataan di sini.

Sayani berkata, empat mangsa lain berusia 18 hingga 49 tahun yang turut berada dalam rumah ketika kejadian berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, usaha pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan satu pancutan air dari tangki jentera sehingga kebakaran dipadamkan sepenuhnya.
"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.41 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.02 pagi," katanya.

Operasi pemadaman melibatkan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dibantu BBP Ipoh serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui punca kejadian.
Ujar beliau, siasatan awal mendapati, kediaman tersebut didiami oleh enam ahli keluarga.
"Kes dikalsifikasikan sebagai mati mengejut. Polis turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai kejadian ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!