X

Kindly register in order to view this article
!

Cemas Kancil masuk 'airport' di Kuala Terengganu

Gambar perodua Kancil dipandu wanita itu masuk dalam balai pelepasan LTSM tular dalam media sosial. Foto: Ihsan pembaca
A
A

KUALA NERUS – Orang ramai yang berada di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini panik apabila sebuah perodua Kancil yang dipandu seorang wanita secara tiba-tiba masuk ke balai pelepasan di tingkat satu bangunan itu, petang semalam.

Sinar Harian difahamkan, wanita berusia 55 tahun itu mengalami tekanan perasaan dan memandu seorang diri masuk ke balai pelepasan pada jam 4.30 petang melalui pintu cermin automatik berhampiran kaunter daftar masuk.

Bagaimanapun, kecekapan kakitangan LTSM berjaya mengawal keadaan dengan memujuk dan menenangkan mangsa daripada bertindak agresif bagi mengelak berlaku kemalangan dan kerosakan harta benda.

Pengurus LTSM, Che Sulaiman Che Pa berkata, kakitangannya cuba menahan wanita itu daripada memasuki bangunan terminal sebaik sahaja menyedari kehadiran kenderaan tersebut namun gagal.

“Pintu itu akan terbuka secara automatik apabila ada objek mendekati, bila kita sedar yang masuk itu adalah kereta, petugas cuba tahan tapi wanita itu berjaya memandu masuk sampai ke dalam lalu berhenti.

“Kakitangan kita kemudian mengambil langkah berhemah dengan cara memujuk wanita itu supaya keluar dari kereta bagi mengelak berlakunya kemalangan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi hari ini.

Kakitangan LTSM memujuk wanita itu keluar dari kereta namun gagal.
Kakitangan LTSM memujuk wanita itu keluar dari kereta namun gagal.

Menurut Che Sulaiman, pihaknya mengambil masa kira-kira sejam untuk menenangkan dan memujuk sebelum wanita itu membuka pintu kereta lalu kakitangan LTSM segera bertindak mematikan enjin serta mengambil kunci kereta.

Beliau berkata, walau puas dipujuk namun wanita terbabit tetap enggan keluar dari kenderaan dan keadaan itu memaksa pihaknya menolak keluar perodua Kancil dari balai pelepasan dengan wanita itu di dalam kereta.

Katanya, ia kejadian pertama berlaku di LTSM dan beliau bersyukur ia berakhir dengan baik tanpa berlaku kerosakan serta kemalangan serius manakala wanita berkenaan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Kejadian ini di luar jangkaan kita dan oleh itu LTSM akan meningkatkan kawalan termasuk bekerjasama dengan polis bagi mengelak berlakunya kes seumpama ini pada masa akan datang sekaligus menjamin keselamatan pelanggan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!