PGA gagalkan cubaan seludup beras Siam 5,000kg

TUMPAT - Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan beras selepas menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Simpangan di sini pada Rabu.
Lori yang membawa 5,000 kilogram (kg) beras dipercayai dari Thailand itu ditahan pada jam 6 petang semasa melakukan penugasan Op Taring Wawasan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat beras putih dianggaran bernilai RM20,000 di temui di belakang lori terbabit.
"Kami turut menahan seorang lelaki yang dipercayai pemandu lori dan mengambil upah untuk membawa barangan tersebut.
"Hasil rampasan diserahkan ke KSPBN (Kawal Selia Padi Beras Negara) Kelantan untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Ujar beliau, kes disiasat bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!