AS berteka-teki serang Iran

WASHINGTON - Kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa kesabarannya terhadap Iran telah berakhir mencetuskan spekulasi bahawa tindakan ketenteraan kini bukan lagi satu kemungkinan jauh, tetapi semakin mendekati kenyataan.
Trump secara terbuka menyatakan Iran menunjukkan minat untuk berunding, namun dalam masa yang sama tidak menolak kemungkinan perubahan rejim di Teheran berlaku akibat tekanan perang.
“Saya belum buat keputusan untuk menyertai Israel dalam mengebom Iran. Tetapi ia mungkin berlaku,” katanya.

Nada kenyataan itu cukup memberi isyarat bahawa AS sedang menilai tindak balas ketenteraan terhadap Iran yang kini melancarkan ratusan peluru berpandu dan dron ke wilayah negara haram Israel.
Sekiranya serangan berlaku, ia akan menjadi konflik langsung pertama antara AS dan Iran sejak Revolusi 1979.
Perang ini bukan sekadar antara dua negara. Ia melibatkan pakatan strategik, laluan minyak global, serta masa depan rantau paling tidak stabil di dunia.
Israel merupakan sekutu terkuat AS di Asia Barat dan menjadi pendorong utama kepada tekanan terhadap Iran.
Netanyahu menyifatkan sokongan Trump sebagai penting dan menekan Washington agar bertindak lebih keras.
Dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Britain dan Perancis menyatakan kebimbangan terhadap program nuklear Iran tetapi masih berhati-hati dalam menyeru tindakan ketenteraan.
Namun mereka turut memperimbangkan untuk memberikan sokongan logistik jika arahan serangan dikeluarkan.
Manakala Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) secara rasmi menyeru semua pihak bertenang.
Namun hubungan pertahanan rapat mereka dengan AS memberi ruang senyap untuk sokongan belakang tabir.

Iran pula memiliki rangkaian sokongan tersendiri. Rusia dan China walaupun tidak menyertai secara langsung, telah menyuarakan sokongan terhadap hak Iran mempertahankan diri.
Presiden Vladimir Putin menawarkan diri sebagai pengantara. Namun Trump menyindir tawaran itu dan menyuruh Putin “selesaikan dulu perang kamu di Ukraine.”
Militan proksi Iran di Lubnan, Syria, Yemen dan Iraq telah mula mengaktifkan sokongan. Hizbullah memberi isyarat akan bertindak balas jika Teheran diserang secara langsung oleh Washington.
Pasukan Houthi di Yemen dikatakan berupaya melancarkan peluru berpandu ke arah Teluk.
Kumpulan pejuang Hashd al-Shaabi di Iraq berupaya menyerang pangkalan tentera AS.
Namun, jika AS menyertai serangan secara langsung, ia bakal membuka peperangan terbuka secara serentak dari Tel Aviv ke Teluk dan dari sempadan Lebanon hingga ke kawasan Kurdish di Iraq.
Sementara itu pula, Arab Saudi mungkin menjadi mangsa balas dendam peluru berpandu. Lapangan minyak di Abqaiq dan Ras Tanura adalah sasaran strategik dalam konflik ini.
Turkiye pula berdepan dilema antara komitmen NATO dan kestabilan sempadannya dengan Syria serta Kurdistan.
Namun begitu, Ankara dijangka mengambil pendekatan berkecuali dan menjarakkan diri dari konflik tersebut secara langsung.
Mesir dan Jordan, dua negara Arab yang ada hubungan diplomatik dengan Israel akan berdepan tekanan rakyat yang marah jika sokongan terbuka diberi kepada Tel Aviv atau Washington.
Kesan ekonomi global juga tidak dapat dielakkan. Selat Hormuz yang terletak di pantai selatan Iran menjadi laluan sepertiga eksport tenaga dunia.
Jika disekat, harga minyak dijangka melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah moden.
Dalam masa yang sama, dunia berdepan kemungkinan besar krisis pelarian. Iran, Iraq dan Syria adalah titik panas kemanusiaan. Jutaan orang mungkin meninggalkan negara masing-masing jika perang ini melarat.
Bagi Washington sendiri, keputusan menyerang Iran bukan sahaja risiko ketenteraan yang lebih kepada risiko politik.
Trump perlu menimbang kesan terhadap pilihan raya akan datang dan imej antarabangsa AS yang semakin tercalar.
Jika serangan berlaku, ia bakal menjadi perang paling besar sejak pencerobohan Iraq 2003. Tetapi tidak seperti Iraq, Iran lebih bersedia, lebih tersusun, dan tidak bersendirian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
