Jom ikuti My #HadithTime 2.0

SHAH ALAM – My #HadithTime 2.0, sebuah rancangan perkongsian hadis kembali dengan nafas baharu yang lebih dekat dengan kehidupan masyarakat berteraskan tema-tema pilihan berkaitan al-Quran dan hadis, kisah para sahabat dan Ulum Hadis.
Orang ramai boleh mengikuti 13 episod terbitan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) di platform media sosial di YouTube My #HadithTime, Facebook My #HadithTime, My #QuranTime dan Sinar Harian pada setiap Jumaat jam 11 pagi, bermula 23 Mei lalu.
Pengacara My #HadithTime yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, program kali ini berbeza berbanding musim pertama yang menghuraikan hadis berdasarkan helai halaman al-Quran.
Menurutnya, sebelum ini, My #HadithTime 1.0 menghidangkan kupasan hadis berdasarkan halaman My #QuranTime,tetapi untuk kali ini, hadis dipilih dan susun ikut tema agar masyarakat lebih mudah faham dan amalkan dalam kehidupan harian.
Kata beliau, My #HadithTime 2.0 membawa hadis lebih dekat dengan masyarakat dari segi memperkenalkan Rasulullah SAW dan ciri-ciri Baginda.
“Edisi kali ini mengupas hadis secara mendalam serta relevan dengan cabaran semasa. Ia lebih memfokuskan tema seperti kekeluargaan, sirah Rasulullah dan pelbagai aspek kehidupan seharian, berkaitan al-Quran dan hadis.
“Perubahan ini bukan sekadar bentuk tetapi juga memberi nilai tambah kepada pengisian. Antara elemen terbaharu yang diketengahkan termasuk pengenalan kepada Ulum Hadis, iaitu ilmu berkaitan cara penilaian dan pemahaman hadis.
“Sebelum ini, permintaan untuk Ulum Hadis agak tinggi. Pada My #HadithTime 2.0, kita perkenalkan konsep-konsep penting seperti sanad, matan, perawi dan pelbagai istilah yang biasa hanya diajar di peringkat universiti. Ini semua kita bawa dalam bentuk yang lebih santai dan mudah difahami oleh masyarakat umum,” katanya.
Sesi bacaan al-Quran dibimbing oleh johan Qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2024, Ustaz Mohamad Husaini Mahmur.
Lebih menarik, kuiz interaktif turut diselitkan dalam episod-episod tertentu, menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan dan memberi ruang kepada penonton untuk menguji kefahaman mereka terhadap apa yang dipelajari.
Ahmad Sanusi memaklumkan, turut membezakan My #HadithTime 2.0 adalah durasi nya 60 minit berbanding 30 minit sebelum ini, sekali gus membolehkan lebih banyak elemen penting dapat dimasukkan dan menuntut ruang masa yang lebih bagi membolehkan penonton betul-betul memahami isi kandungan yang disampaikan.
“Kita tidak mahu terlalu laju dan padat sehingga penonton sukar untuk hadam ilmu yang disampaikan. Dengan masa yang lebih panjang, kita dapat beri penerangan yang lebih teliti dan menyeluruh.
“Program ini bukan sekadar sebuah rancangan dakwah, tapi satu usaha mendidik masyarakat untuk lebih memahami hadis dan Rasulullah. Ia bukan sekadar tahu, tetapi rasa dekat dan cinta pada Baginda melalui penghayatan yang sebenar,” ujarnya.
Bagi Ahmad Sanusi, momen yang paling menyentuh hatinya apabila berjaya menyiapkan 13 episod di sebalik proses yang mencabar.
Apa yang paling bermakna adalah usaha beliau dan pihak WUIF mengetengahkan program hadis kerana program seumpama itu masih sangat kurang di media sosial dan saluran televisyen tempatan.
Justeru, beliau menyeru orang ramai agar mengambil peluang untuk mengikuti My #HadithTime 2.0 dan mendalami ilmu hadis yang terkandung penjelasan praktikal terhadap perintah ALLAH SWT dalam al-Quran.
Katanya, mempelajari Ulum Hadis pula membantu memperoleh maklumat yang benar-benar tepat daripada Rasulullah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!