Korea Utara kecam serangan Israel ke atas Iran

SEOUL – Korea Utara pada Khamis mengecam tindakan Israel melancarkan serangan yang mencetuskan konflik dengan Iran, serta memberi amaran kepada Amerika Syarikat dan kuasa Eropah agar tidak 'menyemarakkan api peperangan', menurut jurucakap Kementerian Luar negara itu.
Jurucakap berkenaan menyatakan bahawa Pyongyang menzahirkan kebimbangan serius terhadap serangan ketenteraan Israel dan mengecamnya sekeras-kerasnya, sambil menegaskan bahawa pembunuhan orang awam oleh Israel merupakan jenayah terhadap kemanusiaan yang tidak boleh dimaafkan.
“Tindakan tidak sah berupa keganasan yang disokong oleh negara seperti yang dilakukan Israel sedang meningkatkan risiko tercetusnya perang besar-besaran baharu di rantau Asia Barat,” menurut kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA.
Israel pada 13 Jun lalu telah melancarkan siri serangan yang dikatakan menyasarkan program nuklear Iran, sekali gus mencetuskan enam hari serangan balas antara kedua-dua negara yang kini saling melepaskan peluru berpandu.
Pihak Iran pada 15 Jun memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 224 individu telah terbunuh, termasuk komander tentera, saintis nuklear dan orang awam akibat serangan Israel. Angka terbaharu belum dikeluarkan sejak itu.
Sejak 13 Jun, sekurang-kurangnya 24 orang maut di Israel dan ratusan lagi cedera, menurut pihak berkuasa Israel. Angka tersebut turut merangkumi mangsa dalam kalangan orang awam.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Korea Utara semakin mengukuhkan hubungan dengan Rusia dan secara terbuka menyokong operasi ketenteraan Moscow terhadap Ukraine.
Pada Januari lalu, Rusia dan Iran telah menandatangani perjanjian kerjasama strategik menyeluruh bagi memperluas hubungan ketenteraan. Kyiv dan sekutunya telah lama menuduh Iran membekalkan dron dan peluru berpandu jarak dekat kepada Rusia.
Presiden AS, Donald Trump pula telah mencetuskan spekulasi bahawa Washington akan menyertai sekutunya, Israel, dalam tindakan ketenteraan terhadap Iran. Pada 18 Jun, Trump menyatakan bahawa kesabarannya terhadap Teheran telah 'berakhir', namun masih membuka ruang untuk rundingan damai.
Beliau kemudian menjelaskan bahawa belum membuat keputusan muktamad sama ada AS akan turut serta dalam pengeboman ke atas Iran, sambil memberi amaran bahawa kepimpinan Iran mungkin akan tumbang akibat perang ini.
Pyongyang turut memberi amaran keras kepada Presiden Trump dan pihak lain agar tidak terlibat dalam perang yang sedang tercetus antara Israel dan Iran.
“Krisis serius yang sedang disaksikan oleh dunia hari ini membuktikan dengan jelas bahawa Israel – yang disokong dan dilindungi oleh Amerika Syarikat dan Barat – adalah entiti barah yang mengancam keamanan Asia Barat dan merupakan dalang utama dalam kemusnahan keamanan serta keselamatan sejagat,” kata jurucakap Kementerian Luar Korea Utara. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

