Penjawat awam buat kenyataan tanpa kebenaran boleh kena tindakan sehingga buang kerja

JPA beri amaran penjawat awam tidak keluarkan kenyataan yang burukkan kerajaan tanpa kebenaran. Foto hiasan
JPA beri amaran penjawat awam tidak keluarkan kenyataan yang burukkan kerajaan tanpa kebenaran. Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Penjawat awam diberi amaran agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh memudaratkan dasar, perancangan dan keputusan kerajaan tanpa kebenaran.

Surat edaran yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, memaklumkan bahawa larangan tersebut dibuat berdasarkan Subperaturan 19(1) dan 19(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, yang menghalang penjawat awam daripada membuat pernyataan secara lisan mahupun bertulis.

Menurut surat itu, penggunaan media sosial secara meluas telah mengubah landskap komunikasi dan penyampaian maklumat di seluruh perkhidmatan awam.

“Tidak boleh secara lisan mahupun bertulis mengeluarkan apa-apa pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama kerajaan, selain mengedarkan apa-apa ulasan sama ada dibuat olehnya atau orang lain,” katanya dalam surat bertarikh 19 Jun 2025.

Ujar Wan Ahmad Dahlan, meskipun garis panduan telah ditetapkan, masih terdapat kes pelanggaran tatatertib melibatkan kenyataan yang menyalahi peraturan tersebut.

Sehubungan itu, ketua jabatan digesa menasihati kakitangan awam agar berhemah dalam membuat sebarang pernyataan, ulasan atau komen, dan tidak sekali-kali menyebarkan maklumat palsu, berunsur hasutan, fitnah, provokasi atau yang tidak dapat disahkan kesahihannya.

“Sekiranya pegawai didapati melakukan kesalahan tersebut, pegawai boleh dikenakan tindakan tatatertib sehingga dibuang kerja sebagaimana diperuntukkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!