Pemandu lori rogol anak kandung dijel 10 tahun, 20 sebatan

Pemandu lori dihukum penjara 10 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas mengaku bersalah merogol anak kandungnya di Meru. Foto hiasan
Pemandu lori dihukum penjara 10 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas mengaku bersalah merogol anak kandungnya di Meru. Foto hiasan
A
A
A

KLANG – Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas pertuduhan merogol anak perempuannya pada November 2024 dan Mei lalu.

Tertuduh berusia 37 tahun dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani perintah kaunseling dan pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman tersebut.

Bagi setiap pertuduhan, tertuduh dikenakan hukuman penjara 10 tahun. Namun, mahkamah memerintahkan hukuman pemenjaraan berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap, iaitu pada 14 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa merogol anak perempuannya yang berusia 10 tahun di sebuah rumah di Meru, di sini, pada jam 3 petang, 10 November 2024; sementara kejadian kedua berlaku di lokasi sama, ketika mangsa berumur 11 tahun, pada jam 7 pagi, 17 Mei lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana telah insaf, selain perlu menyara anak dan isteri.

“Saya sangat menyesal atas perbuatan ini dan telah bertaubat. Saya berjanji tidak akan melakukannya lagi. Saya berharap mahkamah dapat mempertimbangkan rayuan saya dan mengurangkan hukuman,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Jannah Aimi mencadangkan agar tertuduh dikenakan hukuman berat kerana kesalahan tersebut amat serius.

Artikel Berkaitan:

“Tertuduh sebagai seorang bapa mempunyai amanah untuk menjaga dan membesarkan mangsa, namun telah mengkhianati amanah itu dengan perbuatan terkutuk.

“Mahkamah juga perlu mengambil kira trauma yang akan menghantui mangsa seumur hidup,” katanya sambil memohon agar tertuduh turut dikenakan perintah kaunseling dan pengawasan polis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!