Kedah mahu isu harimau diselesai segera

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah memandang serius isu ancaman harimau di Kampung Ulu Dingin, Kulim dan menggesa tindakan segera daripada pihak berkaitan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kemunculan haiwan liar itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan segera.

"Saya dimaklumkan bahawa di Ulu Dingin dan Ulu Mahang terdapat harimau yang mengganggu serta mengancam keselamatan.

“Kita berharap isu ini dapat diselesaikan segera bagi menjamin keselamatan awam," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.

Ujarnya, tindakan segera perlu diambil dalam tempoh satu atau dua hari bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Jelasnya, perangkap telah dipasang oleh Perhilitan di beberapa lokasi termasuk di kawasan Ulu Mahang, Ulu Dingin hingga ke Sedim.

Turut dimaklumkan, satu taklimat yang melibatkan Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar akan diadakan bagi membincangkan langkah susulan dalam menangani isu berkenaan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kebimbangan penduduk berhubung kemunculan harimau belang di sekitar Kampung Ulu Dingin selepas beberapa kejadian lembu ternakan mati.

Artikel Berkaitan:

Penduduk, Muhammad Khairul Azlan Che Hamid, 37, berkata, tujuh ekor lembu miliknya telah terkorban dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, disyaki menjadi sasaran harimau.

Penghulu Mukim Mahang, Mohd Naim Zamhuri Zainul Abidin pula menjelaskan bahawa sejak Januari 2025, empat ekor lembu ternakan telah terkorban dalam tiga kejadian berasingan di kawasan terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!