Adam Ezra dijaga sementara, ibu kandung gagal dikesan

KUANTAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun satu bulan kini ditempatkan sementara di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) selepas ibu kandungnya gagal dikesan.
Menurut kenyataan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Bentong, kanak-kanak dikenali sebagai Adam Ezra telah diserahkan kepada sebuah keluarga melalui kenalan ibunya, Adolfina Rambu pada Jun 2023 untuk dijaga.
“Sehingga kini, ibu kandungnya tidak dapat dihubungi bagi menguruskan prosedur penjagaan dan telah menghilangkan diri.
“Memandangkan kanak-kanak ini memerlukan pemeliharaan dan perlindungan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 17(1)(e)(ii), Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016), maka penempatan sementara dibuat bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Adam Ezra kini ditempatkan di bawah jagaan OYLS bermula 11 Jun hingga 11 Julai depan bagi membolehkan Pegawai Pelindung menjalankan siasatan selanjutnya.
Sehubungan itu, JKM memohon kerjasama ibu kandung atau mana-mana waris terdekat untuk hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Bentong atau menghubungi Pegawai Pelindung, Iman Syahirah Norman di talian 09-222 1732.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

