'40 peratus tanpa persaraan bukti sistem gagal' – GEM

SHAH ALAM – Kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahawa 40 peratus tenaga kerja di negara ini masih tidak mempunyai perlindungan persaraan disifatkan sebagai satu kegagalan sistemik.
Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Jose Rizal berkata, ia tidak harus dibebankan semata-mata kepada individu tetapi perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama kerajaan, agensi berkaitan dan industri.
Beliau berpandangan bahawa sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan satu skim simpanan persaraan mikro yang direka khas untuk pekerja tidak formal.
"Skim ini mestilah fleksibel dan mesra realiti dengan caruman minimum, tanpa paksaan dan boleh dilakukan apabila ada pendapatan.
"Antara cadangan kami ialah caruman serendah RM10 sebulan, boleh dilakukan melalui platform digital atau terus dari aplikasi e-hailing serta dilengkapi insentif padanan daripada kerajaan untuk menggalakkan penyertaan aktif. Model ini telah berjaya dilaksanakan di negara lain seperti India dan Kenya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa cadangan GEM sebelum ini mengenai penubuhan Kumpulan Wang Simpanan Persaraan Gig (KWSPG) bukanlah satu cadangan enteng.
"Ini adalah keperluan nasional yang mesti disegerakan. KWSPG bukan bertujuan menggantikan KWSP sedia ada, tetapi menjadi sayap khas yang lebih anjal, mesra pendapatan tidak tetap, serta direka mengikut realiti kehidupan pekerja gig dan tidak formal," jelasnya.
Justeru, katanya, kerajaan, KWSP dan pihak industri termasuk syarikat platform perlu duduk semeja bagi merangka satu pelan tindakan nasional untuk memperluas liputan perlindungan sosial secara menyeluruh.
"Beberapa perkara penting perlu segera dipertimbangkan, termasuk sasaran liputan KWSP yang lebih tinggi menjelang 2030, insentif cukai kepada pemain industri dan penyedia platform yang mencarum serta penubuhan Dana Penjana Simpanan Hari Tua untuk pekerja tidak formal.
"Pendidikan kewangan juga harus dilihat sebagai satu keperluan asas, bukan pilihan. Ramai pekerja gig tidak mencarum bukan kerana enggan tetapi kerana tidak tahu bagaimana untuk bermula, tidak yakin dengan sistem sedia ada atau kerana pendapatan yang tidak menentu.
"GEM menggesa pelaksanaan kempen pendidikan kewangan secara bersasar dan inklusif merangkumi pendekatan fizikal dan digital, serta melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), universiti dan persatuan komuniti. Kesedaran perlu dibina dari sekarang, bukan hanya selepas usia mencecah 50 atau 60 tahun," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!