Mural skala besar simbol kerjasama erat Infinity Logistics, Northport

(Barisan hadapan) Fakhrul Azhar (10 dari kiri), Azman (11 dari kiri, Hian Wah (12 dari kiri) dan Kong Yew (13 dari kiri) bergambar bersama tetamu hadir semasa pelancaran seni mural di Gudang D4, NDSB pada Selasa lepas.
(Barisan hadapan) Fakhrul Azhar (10 dari kiri), Azman (11 dari kiri, Hian Wah (12 dari kiri) dan Kong Yew (13 dari kiri) bergambar bersama tetamu hadir semasa pelancaran seni mural di Gudang D4, NDSB pada Selasa lepas.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Infinity Logistics & Transport Sdn Bhd (Infinity Logistics) mengambil inisiatif menghasilkan mural berskala besar di dinding Gudang D4 di Northport Distripark Sdn Bhd (NDSB) sebagai simbol nilai kebersamaan dan kerjasama erat antara dua syarikat tersebut.

NDSB merupakan pusat pengedaran menyediakan kemudahan pergudangan, penyimpanan dan perkhidmatan berkaitan dikendalikan anak syarikat kepada MMC Port Holdings Berhad (MMC Ports), iaitu Northport (Malaysia) Bhd (Northport).

Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, projek seni itu bukan sahaja mengindahkan ruang kerja, malah mencerminkan nilai kolaborasi dan perpaduan kukuh.

"Saya ingin merakamkan penghargaan atas inisiatif proaktif Infinity Logistics yang melaburkan sumber mereka sendiri untuk menjayakan projek tersebut.

"Projek seni mural itu menyerlahkan sinergi erat antara Northport dan rakan perniagaan kami dalam komitmen bersama untuk mewujudkan persekitaran kerja lebih kondusif dan menarik," katanya.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kelang, Ean Yong Hian Wah.

Tambah beliau, mural itu bukan sekadar tentang hasil seni, tetapi mencerminkan rasa kebersamaan dan perpaduan mendalam di kalangan kakitangan kedua-dua syarikat sebagai 'Barisan Hadapan Ekonomi' berkhidmat untuk negara.

Sementara itu, Pengarah Urusan Infinity Logistics, Datuk Seri Chan Kong Yew menyifatkan mural tersebut sebagai penghargaan kepada insan menggerakkan industri logistik dan pelabuhan.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, mural tersebut menggambarkan perpaduan, kepelbagaian dan dedikasi mereka tanpa berbelah bahagi dengan setiap ekspresi menyampaikan cerita tentang ketabahan.

"Senyuman melambangkan semangat, pandangan mata menunjukkan tekad, titisan peluh menggambarkan kerja keras dan postur badan mencerminkan kekuatan.

"Melalui seni, kita menghidupkan industri, menjadikan ruang lama sebagai lambang identiti dan penghargaan," ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Fakhrul Azhar Tajudin pula berkata, inisiatif berkenaan turut mencerminkan komitmen syarikat terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Beliau memaklumkan, mural itu juga membuktikan bagaimana seni boleh menjadi medium berkesan untuk meningkatkan kesedaran bersama.

"Ia menunjukkan bagaimana operasi pelabuhan boleh diintegrasikan dengan ruang kreatif dan bermakna, dengan menghargai kakitangan telah menyumbang kepada kejayaan kami," menurut Fakhrul Azhar lagi.

Mural direka dan dilukis artis tempatan terkenal, Dr Caryn Koh itu mengangkat konsep 'Kepelbagaian' dan berjaya disiapkan dalam tempoh tiga belas hari sahaja.

Hasil seni itu memaparkan empat orang kakitangan dari kedua-dua syarikat mewakili pelbagai kaum dan fungsi kerja, sekali gus menyerlahkan kekuatan kepelbagaian dan sinergi perniagaan wujud antara Northport dan Infinity Logistics.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!