Polis buru dua lelaki ganggu wanita salin pakaian

Tangkap layar kejadian yang dirakamkan oleh kamera litar tertutup di premis pakaian berkenaan.
Tangkap layar kejadian yang dirakamkan oleh kamera litar tertutup di premis pakaian berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Polis sedang memburu dua pemuda yang disyaki mengganggu seorang wanita ketika mencuba pakaian di sebuah premis di Taman Mount Austin, di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, seorang wanita berusia 26 tahun, sedang menukar pakaian di dalam sebuah bilik persalinan di premis pakaian berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua suspek bertindak menarik tirai bilik persalinan sebelum melarikan diri.

"Semasa kejadian, salah seorang daripada suspek dilihat memegang telefon bimbit.

“Kejadian tersebut telah tular di media sosial dan pihak polis sedang menjalankan siasatan serta memburu kedua-dua suspek,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-218 2323 bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!