Mesyuarat PAC Selangor gagal dapat penjelasan Unisel– Azmin

Mohamed Azmin mempengerusikan PAC di Dewan Negeri Selangor pada Rabu.
Mohamed Azmin mempengerusikan PAC di Dewan Negeri Selangor pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM – Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Negeri Selangor yang dipengerusikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pagi Rabu gagal mendapatkan penjelasan daripada Universiti Selangor (Unisel) berhubung 10 isu berbangkit yang masih belum diselesaikan.

Mohamed Azmin berkata, kegagalan tersebut berpunca daripada ketidakhadiran Naib Canselor Unisel, Senator Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman yang memaklumkan tidak dapat hadir kerana menghadiri sesi latihan kemahiran menembak bagi memperbaharui lesen senjata api.

“Ini merupakan kali kedua beliau gagal hadir ke mesyuarat PAC dan akibatnya tiada sebarang keterangan dapat direkodkan daripada pihak Unisel,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mesyuarat yang berlangsung di Dewan Negeri Selangor itu turut dihadiri wakil daripada Jabatan Audit Negara Negeri Selangor yang diketuai oleh Timbalan Pengarahnya, Dr Yati Md Lasa.

Azmin menjelaskan bahawa 10 isu berbangkit yang dibincangkan adalah antara perkara yang dilaporkan dalam AG Dashboard dan masih belum mendapat penyelesaian sewajarnya.

Tambah beliau, mesyuarat PAC turut meneliti dan menyemak draf penyata yang dijadualkan untuk dibentangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 7 Julai ini untuk dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan.

“PAC akan terus komited menggalas tanggungjawab untuk memeriksa dan memantau segala urusan kerajaan negeri, agensi, badan berkanun dan anak syarikat yang ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara.

“Apa-apa perkara yang difikirkan oleh Jawatankuasa patut diperiksa bagi menjamin tatacara dan prosedur kewangan yang bersih dan berhemah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!