Wanita rugi RM9,000, beg dilarikan ketika solat di masjid

Suspek dilihat melarikan beg milik jemaah yang solat di masjid.
Suspek dilihat melarikan beg milik jemaah yang solat di masjid.
A
A
A

SUNGAI PETANI – Seorang wanita kerugian hampir RM9,000 apabila beg tangan miliknya dilarikan seorang lelaki ketika menunaikan solat Isyak di Masjid Batu Lintang, Tikam Batu, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, antara barangan yang dilarikan termasuk tiga bentuk cincin emas, seutas rantai leher, sepasang subang emas serta wang tunai kira-kira RM1,000 yang disimpan dalam beg berkenaan.

Menurutnya, kejadian berlaku di dalam bilik solat wanita selepas selesai kuliah malam, apabila mangsa meletakkan beg telekung di tepi tiang dalam kawasan jemaah wanita untuk menunaikan solat Isyak bersama imam.

"Selepas selesai solat, pengadu mendapati beg telekung miliknya telah tiada dan dipercayai dicuri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, mangsa telah memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak jawatankuasa masjid sebelum meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki dilihat memasuki ruang solat jemaah wanita melalui pintu hadapan dan terus mencuri beg tersebut.

"Beberapa jemaah yang menyaksikan kejadian itu cuba mengejar suspek, yang kemudiannya dilihat melarikan diri bersama seorang lagi suspek wanita menaiki motosikal," jelasnya.

Tambah beliau, nombor pendaftaran motosikal terbabit berjaya dikesan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Terdahulu, dua rakaman video berdurasi 45 saat dan 6 saat yang dimuat naik ke media sosial Facebook memaparkan seorang lelaki memasuki ruang solat wanita di sebuah masjid sebelum melarikan beg telekung milik seorang jemaah, telah tular.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!