Empat prospek 'buat kecoh' di Penjara Sungai Petani

Lakonan menunjukkan empat prospek yang bertindak agresif ke atas kakitangan Penjara Sungai Petani dengan cara merusuh dan melakukan provokasi ketika diberi makanan telah ditahan semula pada Ahad.
Lakonan menunjukkan empat prospek yang bertindak agresif ke atas kakitangan Penjara Sungai Petani dengan cara merusuh dan melakukan provokasi ketika diberi makanan telah ditahan semula pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI PETANI – Empat prospek yang bertindak agresif terhadap kakitangan Penjara Sungai Petani dengan merusuh dan melakukan provokasi ketika diberi makanan telah ‘ditahan semula’ pada Ahad.

Pengarah Penjara Sungai Petani, Penolong Komisioner Zakaria Razali berkata, kesemua mereka berjaya dikawal dan siasatan lanjut akan dijalankan berhubung kejadian.

Bagaimanapun, jelasnya, kejadian merusuh ketika diberi makanan itu sebenarnya hanyalah satu lakonan yang dipertontonkan kepada pengunjung bagi menunjukkan kesiapsiagaan anggota dan pegawai dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

"Itu adalah lakonan situasi di mana Jabatan Penjara mengekang sekiranya berlaku rusuhan atau provokasi daripada prospek, sama ada di dalam atau di luar.

“Tadi yang ditunjukkan adalah dari Unit Kawalan Penjara sendiri, bahawa itulah lebih kurang bentuk persediaan kita, dan kita sentiasa siap siaga untuk sebarang kemungkinan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sempena Sambutan Hari Penjara ke-235 Tahun 2025 dan Istiadat Penganugerahan Pingat dan Riben Penghargaan peringkat Penjara Sungai Petani pada Ahad.

Zakaria (depan, tengah) semasa Sambutan Hari Penjara ke-235 di Penjara Sungai Petani pada Ahad.
Zakaria (depan, tengah) semasa Sambutan Hari Penjara ke-235 di Penjara Sungai Petani pada Ahad.

Dalam masa sama, beliau berharap pengurniaan tersebut memberi suntikan semangat untuk terus bekerja lebih gigih dalam memulihkan prospek dan memastikan keselamatan penjara sentiasa terpelihara serta dijauhkan daripada ancaman dan anasir negatif.

Artikel Berkaitan:

“Hari ini juga kita menyaksikan secara rasmi penyematan Riben Penghargaan Bencana Jabatan Penjara Malaysia kepada semua petugas yang berkhidmat pada tahun 2019 hingga 2021 termasuk ketika wabak Covid-19,” katanya.

Turut disampaikan, penghargaan kepada individu dan pihak luar yang bekerjasama menjayakan program serta inisiatif penjara.

Dalam perkembangan lain, jelasnya, Penjara Sungai Petani turut menyediakan sebuah kafe dan produk industri penjara kepada orang ramai.

“Kita juga ada menyediakan perkhidmatan cuci kereta... nak bagi tahu masyarakat bahawa penjara ini bukan tempat kurungan semata-mata. Sambil cuci kereta, boleh ‘cuci mata’ melihat produk hasil prospek penjara,” katanya.

Beliau turut berharap agar sokongan masyarakat berterusan bagi memastikan proses pemulihan prospek lebih berkesan, khususnya setelah mereka selesai menjalani hukuman dan kembali ke dalam komuniti.

“Tanpa sokongan masyarakat, mereka tidak boleh berubah. Apabila mereka berubah tetapi masyarakat tidak boleh menerima, mereka akan kembali kepada asal.

"Perubahan bukan hanya pada prospek, tetapi masyarakat juga perlu berubah dari segi pemikiran... mindset yang menganggap banduan keluar pasti lakukan jenayah itu perlu diubah,” jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!