Bengkel peninggalan bapa musnah terbakar, kerugian cecah RM600,000

JELEBU – Seorang pengusaha bengkel motosikal di Pekan Titi di sini menanggung kerugian lebih RM600,000 apabila premis perniagaannya musnah dalam satu kebakaran pada malam Selasa.
Pemilik bengkel, Chong Chern Yoong, 40, berkata, premis tersebut yang telah beroperasi lebih 20 tahun adalah warisan daripada bapanya sebelum beliau mengambil alih perniagaan itu.
Menceritakan kejadian, beliau berkata, kebakaran berlaku sekitar jam 10.30 malam ketika beliau berada di rumah, sebelum dihubungi oleh seorang kenalan yang memaklumkan tentang kejadian tersebut.
“Apabila saya sampai, api sudah marak. Kesemua 18 motosikal yang berada dalam bengkel tidak sempat diselamatkan.
“Separuh daripada motosikal ini adalah milik pelanggan. Dua daripada pemilik motosikal tersebut telah dimaklumkan,” katanya ketika ditemui pada Rabu.

Menurutnya lagi, bengkel itu tidak mempunyai perlindungan insurans kerana struktur bangunan hanya diperbuat daripada papan, manakala kamera litar tertutup (CCTV) juga tidak dapat diselamatkan kerana cair dalam kebakaran.
Beliau memaklumkan bahawa sistem pendawaian bengkel itu telah ditukar dua minggu lalu sebagai langkah keselamatan, namun tidak menyangka tragedi sebegini akan berlaku.
“Saya tutup bengkel sekitar jam 7 petang. Semua suis telah ditutup, cuma dua lampu saya biarkan menyala sebagai langkah berjaga-jaga.
“Apa pun, saya serahkan kepada pihak bomba untuk menjalankan siasatan dan berharap ada bantuan disalurkan bagi membolehkan saya memulakan semula perniagaan,” katanya.
Walaupun sedih kerana bengkel yang mempunyai nilai sentimental itu hangus dijilat api, beliau tetap bersyukur kerana tiada kecederaan atau kehilangan nyawa berlaku.
Pada Rabu, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias turut turun padang meninjau keadaan di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jelebu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farid Mohd Desa berkata, dianggarkan 70 peratus daripada struktur premis berkeluasan 40x20 kaki persegi itu musnah dalam kebakaran.
Menurutnya, kesemua 18 buah motosikal di dalam bengkel turut musnah sepenuhnya.
“Seramai 20 anggota terlibat dalam operasi pemadaman tersebut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

