Tembakan di restoran: Seorang maut, dua suspek bermotosikal diburu polis

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian kes tembak di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian kes tembak di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Dua penunggang motosikal diburu polis selepas dipercayai terbabit dalam kes tembakan yang mengakibatkan seorang maut dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya masih berusaha mengenal pasti identiti suspek sama ada melibatkan warga tempatan atau asing.

“Polis akan mendapatkan keterangan daripada mangsa yang cedera dalam insiden tersebut.

“Setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields atau balai polis berhampiran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam, Jumaat lalu, tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun yang sedang makan bersama beberapa rakan di restoran terbabit telah dihampiri dua lelaki menaiki motosikal sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka.

Seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Dua lagi mangsa menerima rawatan di PPUM, dengan seorang mengalami kecederaan serius manakala seorang lagi cedera ringan.

Siasatan juga merangkumi pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!