Bekalan utiliti empat pusat siber haram dipotong

HULU SELANGOR - Sebanyak empat premis telah dikenakan tindakan pemotongan utiliti kerana menjalankan aktiviti pusat siber tanpa kebenaran di sekitar Rasa dan Batang Kali di sini.
Jabatan penguatkuasaan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan tersebut dilaksanakan berikutan pemilik atau pengusaha premis yang pernah dikenakan tindakan sitaan sebelum ini dipercayai masih beroperasi tanpa kebenaran.
"Selain tindakan pemotongan utiliti, MPHS juga telah menyita barang dan peralatan dua premis di Batang Kali.
"Semua barang dan peralatan disita di bawah peruntukan Seksyen 23(1), Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995," katanya menerusi Facebook pada Selasa.
Sehubungan itu, MPHS mengingatkan orang ramai agar sama-sama membantares pusat siber dan hiburan yang menjadi sarang aktiviti tidak bermoral.
Ini kerana katanya ia penting bagi memastikan kesejahteraan sosial dan keselamatan masyarakat terus dipelihara.
Operasi dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama Tenaga Nasional Bhd, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Polis Diraja Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
