Rangkaian penjualan bayi era diktator di Chile didakwa buat pertama kali

SANTIAGO – Sejarah baharu tercipta di Chile apabila buat pertama kalinya, seorang hakim mengumumkan pendakwaan terhadap individu yang terlibat dalam kes penculikan dan penjualan bayi ketika era pemerintahan diktator Jeneral Augusto Pinochet dari tahun 1973 hingga 1990.
Sepanjang tempoh pemerintahan rejim itu, ribuan bayi dipercayai telah dicuri daripada ibu kandung mereka kebanyakannya daripada golongan miskin dan dijual kepada pasangan dari luar negara, terutamanya dari Amerika Syarikat dan Eropah. Mereka kini dikenali sebagai ‘The Children of Silence’.
Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan pihak kehakiman Chile pada Rabu, Hakim Alejandro Aguilar Brevis dari Mahkamah Rayuan Santiago yang mengetuai siasatan tersebut, mengesahkan wujudnya satu rangkaian terancang melibatkan pegawai kesihatan, paderi Katolik, peguam, pekerja sosial dan seorang hakim yang bertindak menculik bayi-bayi ini dan menjual mereka kepada pasangan asing dengan harga mencecah AS$50,000 (kira-kira RM236,000) setiap seorang.
Siasatan kini memfokuskan kepada kes yang berlaku di bandar San Fernando, Chile Tengah, yang melibatkan sekurang-kurangnya dua bayi yang diserahkan kepada pasangan luar negara.
Pendedahan ini menjadi titik tolak penting dalam usaha mencari keadilan bagi ribuan mangsa yang selama ini hidup dalam diam tanpa mengetahui asal-usul sebenar mereka.
Menurut laporan, modus operandi sindiket ini termasuk menipu ibu kandung kononnya anak mereka telah meninggal dunia sejurus selepas dilahirkan, sebelum diserahkan secara rahsia untuk diambil sebagai anak angkat oleh keluarga dari luar negara.
Pihak berkuasa Chile dijangka akan terus menjalankan siasatan menyeluruh terhadap jaringan sindiket yang dikatakan beroperasi secara sistematik ketika era pemerintahan tentera tersebut.-CNN
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

