‘Pertama kali naik pentas konvo, walau masih dalam pantang’

KOTA BHARU - Biarpun baru 12 hari melahirkan anak kelima, seorang sarjan wanita tetap hadir ke majlis penyampaian sijil tamat latihan peralihan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) demi merasai pengalaman ‘konvokesyen’.
Sarjan Siti Rozaiwani Ibrahim, 41, berkata, kehadirannya ke majlis itu adalah simbol pencapaian diri sebagai ibu, isteri dan anggota tentera yang bakal menamatkan perkhidmatan 21 tahun selepas jerit perih diharungi.
“Saya tak pernah merasa konvokesyen, inilah kali pertama. Saya teringin sangat nak naik pentas dan berasa bangga.
“Walaupun masih dalam pantang, semangat itu lebih kuat. Saya mahu anak-anak lihat usaha saya, terutama anak sulung yang sudah 15 tahun,” katanya ketika ditemui selepas menerima Sijil Perhebat bagi Kelantan dan Terengganu di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Petra (KIAS) Nilam Puri di sini pada Khamis.
Sijil disampaikan oleh Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan Wan Faizatul Aniza Ismayatim sambil diiringi Ketua Sektor Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Perbananan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Dr Nor Hayati Yahya.

Siti Rozaiwani yang kini bertugas di Unit 12 Kor Kesihatan Diraja, Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian dijangka menamatkan perkhidmatan secara rasmi pada 11 Jun ini selain berjaya mengikut latihan peralihan dalam Kursus Perusahaan Kecil dan Sederhana di bawah Perhebat.
Menurut wanita itu, latihan peralihan selama enam bulan itu dimanfaat sepenuhnya dengan memulakan perniagaan makanan dari rumah di Pantai Senak, Bachok dalam tempoh semasa menjalani kursus lagi.
“Saya jual laksam, nasi bungkus dan ambil tempahan katering kecil-kecilan. Apabila dah ada sijil dan pengalaman urus niaga, saya rasa lebih yakin masuk alam bersara.
“Sekurang-kurangnya saya ada pilihan nak berniaga atau mohon kerja kerana semuanya sudah bersedia,” katanya.
Mengimbau cabaran sepanjang lebih dua dekad berkhidmat, dia mengakui tempoh 11 tahun menjalani perkahwinan jarak jauh dengan suami, Che Mohd Azri Che Senik, 44,
menjadi episod paling mencabar.
“Kami berbahagi jaga anak, saya jaga dua, suami jaga dua. Masa itu saya bertugas di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur.
“Tapi kami masing-masing tetap setia, suami sangat memahami dan itu yang buat saya kuat sampai hampir bersara sekarang,” ujarnya sebak.
Dua tahun lalu, beliau dipindahkan ke Kelantan dan menyifatkan itu rezeki sebelum bersara agar dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga.
Seawal jam 7 pagi, Siti Rozaiwani tiba ke lokasi majlis itu manakala bayi lelaki baru lahir tersebut ditinggalkan sementara dengan ibunya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!