Kereta rempuh motosikal, dua kanak-kanak dan bapa melambung

Sebuah video tular memaparkan dua kanak-kanak bersama bapanya melambung selepas motosikal dinaiki dilanggar sebuah kereta di Pulau Indah, Klang pada Selasa.
Sebuah video tular memaparkan dua kanak-kanak bersama bapanya melambung selepas motosikal dinaiki dilanggar sebuah kereta di Pulau Indah, Klang pada Selasa.
A
A
A

KLANG, 18 Jun – Dua kanak-kanak tercampak ke atas jalan raya selepas motosikal yang dinaiki bersama bapa mereka dirempuh sebuah kereta yang gagal berhenti di persimpangan empat di Pulau Indah, dekat sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, pihaknya mengesan satu klip video berdurasi 35 saat yang tular di media sosial, memaparkan kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kereta dan sebuah motosikal.

Beliau berkata, kejadian berlaku di persimpangan empat Jalan Dato Hormat atau Jalan Rahmat, Pulau Indah, kira-kira jam 7.16 pagi.

“Penunggang motosikal bersama dua orang anaknya datang dari arah Jalan Dato Ahmad Razali menghala ke Jalan Dato Harun.

“Semasa tiba di persimpangan, sebuah kereta jenis Perodua Myvi didapati tidak berhenti lalu dilanggar oleh motosikal yang sedang bergerak lurus di jalan utama,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Ramli, akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal tercampak ke atas bonet sebuah kenderaan lain, manakala kedua-dua anaknya tercampak ke atas jalan raya.

Kesemua mangsa mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan mematuhi peraturan jalan raya. Sikap bertimbang rasa amat penting bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!