Cef OKU penglihatan serlah bakat dalam pertandingan Genting Culinary Classic

Genting Culinary Classic 2025 yang julung kali dianjurkan oleh Resorts World Genting (RWG).
Genting Culinary Classic 2025 yang julung kali dianjurkan oleh Resorts World Genting (RWG).
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang cef yang kehilangan penglihatan sejak hampir dua dekad lalu mencuri tumpuan dalam sebuah acara mencungkil bakat baharu kulinari negara, Genting Culinary Classic 2025 yang julung kali dianjurkan oleh Resorts World Genting (RWG).

Low Wee Keong merupakan antara 20 finalis yang mencuri perhatian dengan tampil menyediakan menu Ikan Stim Kapitan berinspirasikan cita rasa Nyonya Peranakan yang mencerminkan warisan budayanya.

Meskipun tidak terpilih sebagai lima finalis terbaik, peserta dari Pulau Pinang itu berjaya menyentuh hati penonton dan juri dengan semangat juangnya dalam pertandingan tersebut.

Low Wee Keong merupakan antara 20 finalis yang mencuri perhatian dengan tampil menyediakan menu Ikan Stim Kapitan berinspirasikan cita rasa Nyonya Peranakan yang mencerminkan warisan budayanya.
Low Wee Keong merupakan antara 20 finalis yang mencuri perhatian dengan tampil menyediakan menu Ikan Stim Kapitan berinspirasikan cita rasa Nyonya Peranakan yang mencerminkan warisan budayanya.

Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, Spencer Lee berkata, acara dengan kerjasama program kompetitif kulinari Hospitality Asia Platinum Awards (HAPA) serta sokongan Tourism Malaysia itu menyaksikan lima finalis terbaik terpilih berjaya membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM64,000.

Menurutnya, gelaran juara utama menjadi milik Budiman Bistari, memikat juri dengan hidangan Ayam Goleh Buah Kulim.

"Menu mendapat pujian kerana aroma yang menggoda, sentuhan kompleks dan keserlahan rasa unik buah kulim, buah yang amat jarang ditemui dan digunakan dalam masakan, manakala naib juara disandang oleh Lo Tshun Ket dengan interpretasi moden Mee Tauhu Tawau.

Artikel Berkaitan:

"Lim Boon Ghee pula menduduki tempat ketiga dengan sajian penuh kreativiti, Sugarcane Smoked Bidor Duck Breast bersama Nasi Kerabu Duck Liver Onigiri dan Budu Lime Vinaigrette Ulam.

"Ahmad Fairul Aimie pula meraih tempat keempat dengan Nasi Kerabu Utara bersama Ikan Bakar dan Sambal Kelapa dan tempat kelima dimenangi oleh Wong Cher Yoon menerusi hidangan Crab Alchemy Golden Treasure of Shark Fin au Gratin," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Spencer Lee berkata, penganjuran Genting Culinary Classic 2025 menandakan permulaan kepada sebuah acara tahunan yang menghimpunkan kepakaran dan inovasi dalam dunia kulinari.

Ujarnya, ia juga selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 anjuran Tourism Malaysia, bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama peminat seni kulinari di seluruh dunia, dengan menonjolkan kepelbagaian warisan kulinari negara serta kemunculan bakat-bakat baharu.

Cef selebriti, Martin Yan dan Spencer Lee (tengah) bergambar bersama 20 finalis sebagai penutup rasmi Genting Culinary Classic 2025.
Cef selebriti, Martin Yan dan Spencer Lee (tengah) bergambar bersama 20 finalis sebagai penutup rasmi Genting Culinary Classic 2025.

"Genting Culinary Classic 2025 bukan sekadar sebuah acara pertandingan gastronomi, tetapi platform untuk meraikan bakat tempatan dan serantau dalam usaha mengangkat nama Malaysia di pentas kulinari antarabangsa.

"Acara ini menerima penyertaan yang luar biasa daripada bakat-bakat kulinari yang membuktikan semangat dan minat yang semakin berkembang terhadap kecemerlangan masakan di seluruh rantau ini," katanya.

Tambah beliau, kejayaan penganjuran sulung acara tersebut menjadi landasan kukuh bagi penganjuran edisi kedua pada tahun hadapan, selari dengan usaha berterusan untuk menyerlahkan bakat serta memperkasa industri kulinari serantau.

"Para pengunjung turut berpeluang meneruskan pengalaman gastronomi mereka menerusi sajian eksklusif yang diilhamkan daripada acara ini, kini diperkenalkan di beberapa restoran terpilih," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!