Malaysia lancar Perjanjian Transformasi Akses Terbuka pertama di Asia Tenggara

Profesor Dr Azlinda (tujuh dari kiri) bersama wakil universiti awam yang hadir pada pelancaran Perjanjian Transformasi Akses Terbuka nasional pertama bersama penerbit antarabangsa Springer Nature
Profesor Dr Azlinda (tujuh dari kiri) bersama wakil universiti awam yang hadir pada pelancaran Perjanjian Transformasi Akses Terbuka nasional pertama bersama penerbit antarabangsa Springer Nature
A
A
A

PUTRAJAYA – Malaysia melakar sejarah baharu apabila melancarkan Perjanjian Transformasi Akses Terbuka nasional pertama bersama penerbit antarabangsa Springer Nature, sekali gus menjadi negara pertama di Asia Tenggara memeterai perjanjian seumpama itu.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman berkata, perjanjian tersebut bakal membuka peluang luas kepada penyelidik daripada 20 universiti awam untuk menerbitkan hasil kajian mereka secara akses terbuka dalam lebih 2,000 jurnal hibrid terbitan Springer Nature.

Menurutnya, inisiatif ini turut membolehkan pelajar dan pensyarah mengakses penuh lebih 2,300 judul jurnal berkualiti tinggi, sekali gus memperkukuh jaringan penyelidikan dan memacu kecemerlangan akademik negara.

“Perjanjian Transformasi Akses Terbuka ini adalah langkah signifikan dalam merancakkan ekosistem penerbitan ilmiah yang lebih inklusif, terbuka dan mampan di institusi pengajian tinggi.

“Ia juga bukti komitmen berterusan negara dalam mendukung agenda keterbukaan ilmu serta memperkukuh penyebaran pengetahuan tanpa sempadan,” katanya ketika berucap pada majlis peluncurannya di Hotel Palm Garden, Putrajaya, pada Selasa.

 

Profesor Dr Azlinda (dua dari kanan) ketika melancarkan Perjanjian Transformasi Akses Terbuka nasional pertama bersama penerbit antarabangsa Springer Nature.
Profesor Dr Azlinda (dua dari kanan) ketika melancarkan Perjanjian Transformasi Akses Terbuka nasional pertama bersama penerbit antarabangsa Springer Nature.

Artikel Berkaitan:

Perjanjian itu dimeterai antara Springer Nature dan Konsortium Sumber Elektronik Pendidikan Tinggi (KONSEPt), yang mewakili kesemua institusi pengajian tinggi awam di Malaysia.

Data Springer Nature menunjukkan Malaysia telah mencatatkan kadar 57 peratus penerbitan akses terbuka setakat tahun 2022. Justeru, pelaksanaan TA ini dijangka meningkatkan lagi keterlihatan global dan impak penyelidikan tempatan.

Naib Presiden Jualan bagi Jepun, Asia Tenggara dan Oceania merangkap Pengarah Urusan Springer Nature Jepun, Antoine Bocquet menyifatkan perjanjian itu sebagai satu kejayaan besar dalam usaha global ke arah sains terbuka.

“Perjanjian Transformasi Akses Terbuka merupakan model mampan dan berskala untuk menyokong penyelidik seluruh dunia, termasuk Malaysia, berkongsi ilmu secara terbuka. Kami berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan ini bersama KONSEPt,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, wakil KONSEPt menyatakan komitmen konsortium itu dalam memastikan penyelidik negara mendapat akses saksama terhadap maklumat, memperluas kerjasama penyelidikan dan mempromosikan pertukaran ilmu di peringkat antarabangsa.

Untuk rekod, ini merupakan Perjanjian Transformasi Akses Terbuka ketujuh bagi Springer Nature di Asia selepas Hong Kong, India, Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Taiwan. Sehingga kini, lebih 80 perjanjian seumpamanya telah dimeterai melibatkan lebih 3,700 institusi penyelidikan di seluruh dunia.

Perjanjian ini juga bertepatan dengan ulang tahun ke-10 pelaksanaan TA pertama oleh Springer Nature, sekali gus memperkukuh kepakaran dan komitmen penerbit itu dalam memacu keterbukaan penyelidikan di peringkat global.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!