Wanita tersepit, anak cedera MPV terbabas

BATU PAHAT – Dua beranak cedera apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora yang dinaiki terbabas di Kampung Talang Bunut, Ayer Hitam, di sini, pada Isnin.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Muhammad Nur Zufayri Mohd Azaha dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 4.15 petang.
Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan tujuh anggota bomba telah dihantar ke lokasi sejauh 12 kilometer.
“Setibanya anggota bomba di lokasi pada jam 4.48 petang, didapati kemalangan melibatkan MPV jenis Proton Exora.
“Seorang wanita dewasa berusia 36 tahun didapati tersepit di bahagian pemandu dan mengalami kecederaan, manakala anaknya, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, turut mengalami kecederaan di bahagian mulut.
“Pasukan bomba kemudiannya menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkan mereka kepada kakitangan perubatan untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.48 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
