Dua beranak maut: 'Isteri WhatsApp, beritahu teringin makan roti canai'

Tun Mohd Khairul bersama isteri, Nursaidatul Aishah dan dua anak, Wan Nur Izara Aina (kanan) dan Tun Nur Ufaira Afifa (kiri). Gambar kanan: Mangsa maut dalam kemalangan bersama anak sulungnya di Kampung Kepah.
Tun Mohd Khairul bersama isteri, Nursaidatul Aishah dan dua anak, Wan Nur Izara Aina (kanan) dan Tun Nur Ufaira Afifa (kiri). Gambar kanan: Mangsa maut dalam kemalangan bersama anak sulungnya di Kampung Kepah.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Mangsa maut dalam kemalangan bersama anak sulungnya di Kampung Kepah, di sini menyatakan hasrat untuk bersarapan roti canai sebelum terlibat dalam nahas itu pada Khamis.

Suaminya, Tun Mohd Khairul Tun Arifin, 39, berkata, isterinya, Nur Saidatul Aishah Zakari, 36, meminta dia membelikan roti canai sebelum ke tempat kerja.

"Malam tadi, ketika saya sudah tidur isteri ada hantar pesanan WhatsApp, beritahu dia teringin sangat nak makan roti canai.

"Pagi tadi dalam jam 7 lebih, saya sempat belikan dia roti canai sebelum bergegas ke tempat kerja.

"Saya berasa agak ralat kerana tak pasti sama ada dia sempat makan atau tidak roti canai yang dibelikan itu," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini pada petang Khamis.

Tun Mohd Khairul kelihatan sugul ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu, pada petang Khamis.
Tun Mohd Khairul kelihatan sugul ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu, pada petang Khamis.

Bapa kepada dua anak itu berkata, dia juga meninggalkan wang bawah kusyen motosikal untuk isterinya membeli ayam sebagai lauk tengah hari.

Dia yang bekerja sebagai tukang kebun di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengkawang berkata, dia tidak menyangka tragedi malang itu menimpa isterinya kerana sebelum kejadian mereka saling berbalas WhatsApp.

Artikel Berkaitan:

"Dalam jam 11 pagi dia hantar mesej tanya nak masak apa tengah hari nanti, jadi saya minta dia belikan ayam untuk dibuat sup.

"Selang satu jam selepas itu, saya terkejut apabila seorang rakan datang ke tempat kerja beritahu isteri saya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta," luah Tun Mohd Khairul.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua beranak maut manakala seorang lagi cedera parah apabila motosikal dinaiki dirempuh sebuah Perodua Axia dinaiki lima pelajar politeknik dalam kejadian di Kilometer (km) 13, Jalan Gaung – Kuala Ping – Teris di Kampung Kepah dekat sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, Nursaidatul Aishah bersama anak sulungnya, Wan Nur Izara Aina Tun Mohd Khairul, 12, maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi mangsa, Tun Nur Ufaira Afifa Tun Mohd Khairul, 9, cedera parah.

Menurut Sharudin, kejadian berlaku kira-kira jam 11.55 pagi ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari kedai di Kampung Kepah menghala ke Kampung Tengkawang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah Produa Axia dinaiki lima pelajar lelaki itu telah hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal dinaiki mangsa.

Difahamkan, Tun Nur Ufaira Afifa yang cedera parah juga dirawat di hospital sama dan akan dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, jenazah kedua mangsa kemalangan itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tengkawang selepas solat Isyak malam ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!