Pemergian Ghazali tenang dan penuh bersedia, dicemburui jemaah haji Malaysia
Allahyarham berpesan kalau sehari satu waktu pun tak pergi solat di Masjidil Haram, lebih baik ambil tiket balik Malaysia

MAKKAH – Kisah kematian seorang jemaah haji Malaysia di sini pada Isnin, amat dicemburui oleh jemaah Malaysia kerana dikatakan pergi dalam keadaan tenang, bersih dan penuh persediaan.
Allahyarham Ghazali Ab Rahman, 74, berasal dari Kelantan ditemui tidak sedarkan diri oleh rakan sebiliknya yang mahu mengejutkan untuk bersiap menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjidil Haram pada awal pagi Isnin.
Rakan sebiliknya, Rushdan Asyraf berkata, biarpun mengalami demam namun Allahyarham Ghazali mempunyai semangat luar biasa dan tetap mahu menunaikan solat berjemaah di Masjidil Haram.
"Arwah memang sangat bersemangat menunaikan solat berjemaah di Masjidil Haram. Sebelum ini, dia pernah berpesan kalau sehari satu waktu pun tak pergi solat di Masjidil Haram, lebih baik ambil tiket balik Malaysia.
"Lebih mengharukan, Ghazali telah mengemas barang peribadinya dengan rapi beberapa hari sebelum pemergiannya, walaupun tarikh pulang ke tanah air masih jauh. Ini menunjukkan kesediaannya menghadapi kematian dengan penuh ketenangan,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Rushdan mendedahkan perkara lebih menyentuh hatinya sewaktu Allahyarham Ghazali sempat menziarahi pusara isterinya yang telah meninggal dunia dua tahun lalu di Makkah ketika menunaikan umrah.
Jelasnya, pasangan itu dikatakan pernah berdoa agar dipanggil ALLAH SWT di Tanah Suci dan kini mereka disemadikan berdekatan, menutup kisah cinta mereka dengan penuh penghormatan.
"Wajah jenazah Allahyarham Ghazali dilaporkan tenang dan seolah-olah tersenyum, menjadi inspirasi dan menyentuh hati para jemaah Malaysia lain yang berada di Masjidil Haram.
"Jenazah beliau akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Makkah selepas disolatkan di Masjidil Haram," luahnya lagi.
Sementara itu, seorang jemaah haji yang tidak dinamakan menyifatkan kematian Ghazali sebagai satu peringatan besar kepada umat Islam mengenai pentingnya kesediaan untuk menghadapi kematian dengan hati yang tenang dan amal yang cukup.
“Beliau pergi dalam keadaan bersih, bersedia, dan penuh ketakwaan. Inilah kematian yang dicemburui,” ujarnya.
Pada masa sama, pihak pengurusan Tabung Haji turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan akan memberikan bantuan sewajarnya kepada waris.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
