Kursus IPT disemak setiap lima tahun - MQA

SHAH ALAM –Semua kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan tertakluk kepada proses semakan semula setiap lima tahun bagi memastikan ia kekal relevan dengan keperluan semasa pasaran kerja.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, semakan berkala itu adalah salah satu mekanisme kawal selia kualiti program pengajian yang telah lama diamalkan agensi tersebut.
“MQA memang menetapkan setiap program perlu menjalani proses penilaian semula atau audit dalam tempoh lima tahun.
“Kalau hasil semakan itu menunjukkan program sudah tidak sesuai, tidak mengikut keperluan pasaran atau gagal dikemas kini, maka kita tidak akan meluluskan akreditasi seterusnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengenai semakan semula kursus di IPT supaya kekal relevan dengan keadaan semasa.
Mohammad Shatar berkata, meskipun MQA tidak menetapkan jumlah khusus kursus yang dianggap tidak relevan, pihak agensi menyediakan ruang fleksibel kepada penyedia pendidikan tinggi (PPT) untuk menutup atau mengubah suai program sedia ada berdasarkan dapatan semasa.
“MQA tidak tutup atau buka kursus sesuka hati. Tetapi kami tetapkan indicator iaitu setiap program mesti ada kajian pasaran yang kukuh.
“Kalau pasaran tidak perlukan lagi program itu, kami boleh hentikan akreditasi. Universiti juga perlu bertanggungjawab menilai keberkesanan kursus yang mereka tawarkan,” kata beliau.
Menurutnya, universiti yang peka terhadap perubahan akan lebih bersedia melakukan penambahbaikan atau menamatkan program secara sukarela jika tidak lagi relevan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
