Syarikat Israel dilarang pamer senjata serangan di pertunjukan udara Paris

ISTANBUL - Penganjur Pameran Udara Paris, yang bermula Isnin menyekat beberapa reruai syarikat Israel daripada mempamerkan senjata serangan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Penganjur acara tersebut, yang merupakan antara pameran teknologi persenjataan terbesar dunia, memberitahu penyiar Perancis Franceinfo bahawa mereka telah "melaksanakan arahan daripada pihak berkuasa Perancis yang berkaitan sebelum acara dibuka, berhubung penyingkiran beberapa peralatan yang dipamerkan di reruai syarikat Israel.”
Imej dari lokasi acara itu menunjukkan beberapa reruai Israel ditutup dengan penghadang berwarna hitam.
Menurut Franceinfo, empat syarikat utama Israel tidak mematuhi garis panduan yang mengehadkan pameran senjata serangan dan dikenakan tindakan.
Kesemua gerai itu hanya dibenarkan dibuka semula sekiranya mereka menarik balik senjata yang dipamerkan.
Perdana Menteri Perancis, Francois Bayrou menjelaskan meskipun syarikat berkenaan diberi amaran lebih awal, sesetengahnya gagal mematuhi arahan.
"Pendekatan kerajaan Perancis sangat jelas: tiada senjata perang ofensif dibenarkan dalam pameran. Senjata pertahanan dibenarkan sepenuhnya, tetapi senjata serangan tidak boleh dipamerkan,” kata Bayrou kepada wartawan.
Beliau menegaskan adalah tidak wajar untuk mempamerkan senjata serangan dalam pameran sebegini memandangkan keprihatinan Perancis terhadap situasi di Gaza.
"Situasi di Gaza menuntut agar Republik Perancis menyatakan pendirian dengan jelas, tidak boleh membiarkan rakyat kelaparan, tidak boleh menghalang bantuan kemanusiaan, dan tidak boleh mengasingkan mereka sepenuhnya daripada dunia tanpa kita bersuara atas nilai asas kita.
"Itulah yang kami lakukan melalui keputusan ini,” jelas Bayrou, merujuk kepada penderitaan rakyat Palestin di Gaza, yang kini berdepan sekatan bantuan kemanusiaan oleh Israel sejak beberapa bulan lalu.
Kehadiran Israel dalam Pameran Udara Paris turut menerima bantahan beberapa kumpulan yang mendesak agar syarikat Israel dikeluarkan dari Le Bourget atas dakwaan menyumbang kepada "jenayah antarabangsa,” menurut Franceinfo.
Pameran itu berlangsung sehingga Ahad depan ketika ketegangan berterusan di Gaza, yang menyaksikan lebih 55,000 rakyat Palestin terbunuh, serta konflik memuncak antara Israel dan Iran. - Bernama-Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!