Rossa gegar Axiata Arena dengan persembahan luar biasa

Rossa membuktikan keunggulannya sebagai penghibur sejati yang menjadikan pentas sebagai nadi jiwanya. Foto Yayasan Prihatin Nasional
Rossa membuktikan keunggulannya sebagai penghibur sejati yang menjadikan pentas sebagai nadi jiwanya. Foto Yayasan Prihatin Nasional
A
A
A

HAMPIR tiga jam berdiri di pentas, menyampaikan lebih 30 lagu tanpa kehilangan tenaga, Datuk Seri Rossa membuktikan statusnya sebagai salah satu penghibur terunggul Asia Tenggara.

Menerusi Konsert Rossa: Here I Am yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada malam Sabtu lalu, Rossa bukan sekadar menyanyi, beliau mencipta pengalaman.

Setiap bait lagu, setiap gaya, dan setiap kejutan yang dipersembahkan membuatkan lebih 9,000 penonton pulang dengan rasa puas dan emosi yang masih berbaki.

Rossa membuktikan keunggulannya sebagai penghibur sejati yang menjadikan pentas sebagai nadi jiwanya. Foto Yayasan Prihatin Nasional
Rossa membuktikan keunggulannya sebagai penghibur sejati yang menjadikan pentas sebagai nadi jiwanya. Foto Yayasan Prihatin Nasional

Dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama promosi daripada SAH Entertainment, konsert itu menjadi medan Rossa meraikan perjalanan seninya, selain mengukuhkan hubungan istimewa dengan peminat Malaysia yang tidak pernah luntur sejak dua dekad lalu.

Rossa membuka tirai persembahan dengan penuh tenaga menerusi lagu ikonik Tegar, memukau penonton seawal nota pertama.

Suaranya kekal ampuh, seiring irama dan emosi yang dilemparkan dari pentas ke setiap sudut arena. Dari lagu bernada rancak ke balada menyayat hati, Rossa mengawal pentas dengan aura luar biasa.

Antara momen paling mencuri tumpuan adalah apabila beliau menjemput penyanyi tempatan, Ernie Zakri, untuk berduet dalam mashup lagu Masing-Masing dan Aku Bukan Untukmu.

Gabungan dua vokal hebat dari dua negara ini mendapat sorakan gemuruh penonton, malah menjadi antara persembahan yang paling meninggalkan kesan sepanjang malam.

Artikel Berkaitan:

Konsert itu turut menampilkan segmen penghormatan khas buat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, apabila Rossa menyampaikan empat lagu ikonik penyanyi tersohor itu iaitu Gelora Asmara, Percayalah, Biarlah Rahsia dan Bukan Cinta Biasa.

Walaupun hadir sebagai penonton, Siti sempat menyumbangkan suara untuk lagu Percayalah. Foto Yayasan Prihatin Nasional
Walaupun hadir sebagai penonton, Siti sempat menyumbangkan suara untuk lagu Percayalah. Foto Yayasan Prihatin Nasional

Sebagai kejutan, Siti yang hadir sebagai tetamu istimewa turut menyanyi secara spontan dari tempat duduknya ketika lagu Percayalah dimainkan satu detik yang mencetuskan sorakan dan tepukan gemuruh.

Aura romantis pula menyerlah apabila Ariel, vokalis kumpulan Noah, muncul berduet bersama Rossa menerusi lagu Nada-Nada Cinta. Kehadiran Ariel menjadi antara kemunculan yang paling ditunggu-tunggu, dan duet mereka dipenuhi dengan chemistry yang tenang tetapi penuh makna.

Rossa membuktikan keunggulannya sebagai penghibur sejati yang menjadikan pentas sebagai nadi jiwanya. Foto Yayasan Prihatin Nasional
Rossa membuktikan keunggulannya sebagai penghibur sejati yang menjadikan pentas sebagai nadi jiwanya. Foto Yayasan Prihatin Nasional

Tidak cukup dengan itu, Rossa turut berseloroh dan secara spontan mengajak Hael Husaini berduet di atas pentas menerusi lagu Meriah Lain Macam, menjadikan persembahan itu terasa dekat dan bersahaja, seolah-olah meraikan hubungan erat beliau dengan rakan artis tempatan.

Dari segi visual, Rossa tampil mempesona dengan beberapa persalinan glamor yang memukau mencerminkan sisi elegan beliau yang tidak pernah gagal menawan lensa kamera dan mata penonton.

Konsert turut diserikan dengan persembahan artis undangan seperti MK K-Clique serta kumpulan The Ladies yang terdiri daripada alumni Indonesian Idol iaitu Rimar, Jemimah, Awdella dan Syarla; serta finalis Calpis Soda One In A Million, Marygrace, Kai Deva dan Jimi yang masing-masing menyampaikan lagu-lagu popular Rossa dengan gaya tersendiri.

Konsert diakhiri dengan lagu Hey Ladies yang diberi sentuhan susunan muzik baharu lebih segar dan penuh tenaga, menutup tirai persembahan dengan penuh semangat dan rasa puas hati.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!