HEB perkenal penjana elektrik tanpa guna tenaga solar, minyak

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Hijau Energy Berhad (HEB) memperkenalkan produk yang mampu menjana tenaga elektrik menerusi teknologi, dihasilkan oleh penjana yang dikenali sebagai Hijau Energy Generator (HEG).
HEG mampu menjana elektrik tanpa menggunakan tenaga solar, minyak fosil, gas, hidrogen, reaktor nuklear atau sumber lain.
Ketua Pegawai Eksekutif HEB, Mohd Zubir Amry Mohd Ghazali berkata, sebaliknya, teknologi berkenaan menggunakan tenaga elektromagnet dan kinetik untuk menjana elektrik.

Menurutnya, ia juga tidak hanya menjanjikan tenaga bersih dan mampan malah turut menyediakan penyelesaian tenaga yang lebih mesra alam serta boleh dipercayai.
"Matlamat kami adalah untuk mengurangkan pelepasan sifar karbon, mengembangkan tenaga boleh diperbaharui, memperjuangkan impak sosial dan menggalakkan ekonomi sekeliling.
"Selain itu, ia juga memaksimumkan kebebasan tenaga dan menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau serta persekitaran yang mesra alam,” katanya sempena Majlis Pelancaran Produk HEG, di sini pada Sabtu.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Jean Inel Maury, Indian Ocean Consultants, Jean Inel Maury; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sains Teknologi Dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Ahemad Sade serta Ketua Jabatan Sumber Luar KPJ Seremban Specialist Hospital, Nor Aidil Wahabi.
Mengulas lanjut mengenai produk tersebut, Mohd Zubir menjelaskan, sistem penghasilan tenaga menerusi HEB itu direka untuk memastikan penjanaan kuasa boleh diperbaharui, baik untuk isi rumah kecil mahupun kompleks perindustrian besar.
"Ini akan dapat memperkasakan komuniti dan industri agar boleh beralih kepada ekosistem tenaga lebih bersih dan efisien,” jelasnya.
Sementara itu, Muhammad Nasir dalam ucapan perasmiannya berkata, penggunaan tenaga bersih dan boleh diperbaharui menerusi visi HEB itu adalah demi masa depan generasi akan datang serta memacu inovasi perubahan dengan lebih berevolusi.
"Pelancaran pada hari ini (Sabtu) adalah satu permulaan kepada era baharu tenaga yang berlandaskan sumber boleh diperbaharui dan inovatif dengan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil serta meminimumkan penggunaan karbon.
"Bersama-sama kita memacu perubahan, mencipta impak dan membentuk masa depan yang lebih cerah, bersih dan mampan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!