Mesir umum penemuan minyak baharu di Gurun Barat

KAHERAH - Perbadanan Petroleum Am Mesir (EGPC) menemukan sumber minyak baharu di medan Abu Sennan di Gurun Barat, menurut Kementerian Petroleum dan Sumber Mineral Mesir pada Ahad, lapor Xinhua.
Keputusan awal ujian telaga baharu GPR-1X menunjukkan potensi yang sangat memberangsangkan, dengan anggaran pengeluaran harian sehingga 1,400 tong minyak mentah dan kira-kira satu juta kaki padu gas dari formasi Bahariya, menurut kenyataan kementerian itu.
Selain pengeluaran serta-merta, penemuan itu juga dijangka menambah sebanyak dua juta tong rizab minyak boleh pulih kepada simpanan minyak Mesir.
Pengerusi EGPC, Mohamed Abdel Majeed, mengesahkan bahawa telaga berkenaan kini sedang menjalani ujian di stesen pengeluaran.
Beliau turut menyatakan terdapat petunjuk positif mengenai kehadiran petroleum tambahan di formasi Abu Rawash G dan B, berdasarkan data pembalakan elektrik.
Kementerian itu berkata, penemuan ini merupakan yang kedua di kawasan matang tersebut dalam tempoh tiga bulan, susulan penemuan terdahulu oleh EGPC pada Mac lalu. Kedua-dua kejayaan itu dicapai selepas pasukan EGPC menggunakan teknologi kecerdasan buatan.
Penemuan ini menunjukkan bahawa Gurun Barat masih belum sepenuhnya diterokai, dan penggunaan teknologi moden membuka peluang baharu yang menjanjikan untuk penerokaan di kawasan matang, menurut kementerian itu.
Mesir menyasarkan untuk menjadi hab perdagangan serantau bagi minyak dan gas asli cecair susulan beberapa penemuan besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk medan gas Zohr di Mediterranean yang dianggarkan mengandungi 30 trilion kaki padu gas. - Bernama-Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!