Iftar Ramadan ‘Experience Kedah' tarikan baharu di Medan Bandar

ALOR SETAR - Kedah memperkenalkan program Iftar Ramadan ‘Experience Kedah' di dataran Medan Bandar untuk mengimarahkan bulan Ramadan sempena Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025).
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, program tersebut akan diadakan sekali dalam seminggu, iaitu pada setiap Jumaat bermula 7 Mac ini.
Menurutnya, pelbagai acara turut dirancang sebagai pengisian program sebelum berbuka puasa untuk memeriahkan lagi suasana, antaranya Klinik al-Quran, sesi sembang santai bersama ulama dan pemimpin serta 'street dakwah'.
“Iftar Ramadan ‘Experience Kedah' akan diadakan sebanyak empat kali dan tarikh berikutnya pada 14, 21 dan 28 Mac, bermula jam 5 petang hingga 8 malam.
“Selain beberapa acara yang diatur sebagai tarikan, turut diadakan ruang pameran berkaitan,” katanya pada Selasa.
Mohd Salleh berkata, selain bertujuan mengimarahkan Ramadan dengan program pembinaan rohani, Iftar Ramadan 'Experience Kedah' juga diharapkan dapat menjadi medan untuk mengukuhkan ukhuwah serta menyemarakkan syiar Islam di negeri ini.
“Pada masa sama, ia juga bermatlamat untuk beri peluang kepada pelancong domestik, khususnya yang beragama Islam untuk merasai sendiri pengalaman beriftar cara orang Kedah.
“Saya percaya program seumpama juga akan menarik perhatian pelancong antarabangsa untuk sama-sama memeriahkan program ini,” katanya.
Menurutnya, program tersebut dianjurkan bersama Yayasan Islam Negeri Kedah dengan kerjasama Murtadha Dakwah Centre dan Pertubuhan Kebajikan Nur Iman.
“Kami mengalu-alukan kehadiran semua yang berminat untuk merasai pengalaman Iftar Ramadan 'Experience Kedah', datanglah beramai-ramai bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Nikmati suasana di Medan Bandar sementara menanti waktu berbuka dengan acara-acara disediakan, seterusnya menunaikan solat Maghrib berjemaah dan tarawih di Masjid Zahir dengan hanya menyeberang jalan,” ujarnya.
Sementara, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya memaklumkan, dataran Medan Bandar dibuka kepada orang ramai yang berminat untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.
“Kita mengalu-alukan jabatan kerajaan, agensi swasta, institusi, NGO mahupun individu termasuk seisi keluarga untuk memeriahkan majlis berbuka puasa secara ‘pot luck’ dengan membawa makanan sendiri.
“MBAS mohon semua yang berhasrat berbuka puasa di Medan Bandar memberikan kerjasama dengan mendaftar menerusi kod QR atau pautan yang disediakan di laman Facebook bagi memastikan kawasan tersebut tidak padat atau sesak,” katanya.
Menurutnya lagi, pendaftaran tersebut adalah bagi mengumpul data pengunjung untuk berbuka puasa di Medan Bandar.
“Kajian ini antaranya bagi mengumpul bilangan orang yang berkumpul dalam satu-satu masa sepanjang bulan Ramadan.
“Hanya imbas kod QR untuk mendaftar secara percuma atau hubungi Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan MBAS di talian 04-7349580,” ujarnya.
Abdul Gafar turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa menjaga kebersihan selepas selesai membuka puasa di Medan Selera dan seterusnya menunaikan solat di Masjid Zahir berdekatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

