Wartawan kemukakan representasi gugurkan tuduhan berkaitan Covid-19

A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wartawan yang didakwa atas tiga pertuduhan membuat kenyataan berhubung isu jangkitan koronavirus (Covid-19) dalam laman profil Facebook miliknya akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan terhadapnya.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Wan Noor Hayati Wan Alias, 41, atau dikenali sebagai Ibu Yati semasa sebutan kes di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin di sini hari ini.

“Saya memohon pihak pendakwaan memberikan kertas pertuduhan dan dokumen berkaitan kes anak guam saya bagi membolehkan pembelaan mengemukakan representasi.

“Pihak kami akan menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara tiga minggu dari tarikh hari ini,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 April ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan menyerahkan kertas pertuduhan dan beberapa dokumen berkaitan kes itu kepada pihak peguam hari ini.

Turut kelihatan hadir Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Datuk Ahirudin Attan.

Pada 5 Februari lepas, Wan Noor Hayati mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan membuat kenyataan berhubung isu jangkitan Covid-19 dalam laman profil Facebook miliknya yang akan menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, dia didakwa melalui akaun Facebook miliknya, Ibu Yati secara sedar telah membuat kenyataan mengenai Covid-19 dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam atau kepada mana-mana golongan awam.

Ketiga-tiga kenyataan itu telah dibaca dalam halaman Facebook miliknya di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, di sini pada 10 malam, 26 Januari lepas.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!