Mara alih pelajar cemerlang ke negara lain, elak risiko dasar Trump

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM – Majlis Amanah Rakyat (Mara) memberi jaminan bahawa semua pelajar cemerlang tajaan agensi itu yang sepatutnya melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat (AS) akan tetap ditempatkan di universiti setaraf di negara lain, susulan dasar baharu visa pelajar yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Mara mengambil keputusan untuk menghentikan sementara penghantaran hampir 200 pelajar ke AS bagi mengelakkan sebarang risiko berkaitan keselamatan dan masa depan pelajar terbabit.

Menurutnya, dasar visa baharu itu dianggap tidak menentu dan dikhuatiri boleh menjejaskan kebajikan pelajar antarabangsa termasuk dari Malaysia.

“Walaupun Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ada berbincang dengan pihak Kedutaan AS dan diberi jaminan bahawa pelajar tidak akan terjejas, Mara tetap tidak mahu mengambil risiko.

“Mereka ini ialah pelajar terbaik yang sudah pun menjalani program persediaan di Kolej Mara selama setahun setengah, jadi kita tidak boleh mempertaruhkan nasib mereka dengan dasar yang berubah-ubah,” katanya sebagaimana dilaporkan Berita Harian pada Jumaat lalu.

Polisi baharu AS itu dilaporkan menyasarkan pelajar asing yang didakwa terbabit dalam demonstrasi pro-Palestin, meskipun tidak melibatkan sebarang pelanggaran akademik.

Tegas Asyraf, Mara tidak mahu menanggung risiko kos pemindahan pelajar sekiranya berlaku sebarang perubahan dasar secara mendadak di AS, selain gangguan terhadap kelangsungan pengajian mereka.

Sebagai langkah alternatif, katanya, Mara telah memulakan proses penempatan semula pelajar ke negara-negara lain seperti United Kingdom (UK), Kanada, Australia, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan.

“Antara universiti terkemuka yang memberi kerjasama ialah University of Edinburgh yang menawarkan diskaun yuran sehingga 20 peratus. Turut serta ialah University of Birmingham, University College London dan Cambridge.

Artikel Berkaitan:

“Penjimatan ini meringankan kos tajaan dengan anggaran pengurangan sekitar RM100,000 hingga RM110,000 bagi setiap pelajar sepanjang tempoh pengajian,” katanya.

Asyraf menegaskan bahawa meskipun destinasi pengajian diubah, pelajar tetap akan dihantar ke institusi bertaraf dunia yang diiktiraf serta berada dalam senarai institusi pendidikan pilihan Mara.

“Tidak timbul isu kualiti kerana semua pelajar ini telah melalui proses penyaringan ketat. Mereka hanya menunggu masa untuk berlepas,” katanya.

Mengulas maklum balas pelajar terlibat, Asyraf berkata, rata-rata mereka menerima perubahan itu dengan positif dan memahami keperluan penyesuaian dasar.

“Mara akan terus membimbing pelajar dalam pemilihan universiti dan bidang pengajian supaya ia kekal dalam bidang keutamaan yang ditetapkan.

“Langkah tegas ini membuktikan komitmen Mara dalam memastikan keselamatan, kebajikan dan masa depan pelajar tajaan sentiasa diberi keutamaan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!