Misil Haj Qassem gerunkan Israel
Iran sahkan guna peluru berpandu balistik baharu boleh bermanuver

TEHERAN - Iran dilaporkan telah menggunakan peluru berpandu balistik terbaharu mereka dinamakan Haj Qassem, yang mampu mengelak daripada dipintas sistem pertahanan musuh, dalam serangan terkininya ke atas Israel, menurut media rasmi Iran.
Misil yang dipandu dan berkuasa bahan api pepejal itu digunakan dalam gelombang serangan yang menyasarkan beberapa kawasan di wilayah Israel pada awal pagi Ahad.
Menurut agensi berita FARS dan Tasnim, peluru berpandu itu mempunyai jangkauan sejauh 1,200 kilometer dan dilengkapi kepala peledak boleh manuver iaitu kemampuan mengubah arah secara dinamik ketika berada di udara dan membolehkannya mengelak sistem pertahanan peluru berpandu canggih Amerika Syarikat (AS) dan Israel seperti THAAD dan Patriot.
Menteri Pertahanan Iran, Jeneral Aziz Nasirzadeh sebelum ini menyatakan bahawa senjata ini dibina khas untuk menembusi sistem pertahanan udara musuh dan mampu menentang gangguan peperangan elektronik.
“Peluru berpandu ini dilengkapi dengan sistem panduan dan kemampuan manuver yang canggih, dan mampu menembusi kebanyakan sistem pertahanan peluru berpandu di dunia.
“Berdasarkan anggaran teknikal kami, kira-kira 5 peratus sahaja daripada peluru berpandu ini akan berjaya dipintas oleh Israel, manakala selebihnya akan berjaya lolos,” katanya.
Haj Qassem dinamakan sempena Jeneral Qassem Soleimani, bekas komander Pasukan Quds daripada Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), yang terbunuh dalam serangan dron AS di Iraq ketika pentadbiran pertama Donald Trump.
CNN melaporkan bahawa salah satu peluru berpandu berkenaan mengenai kawasan kediaman di bandar Bat Yam, selatan Tel Aviv, mengakibatkan kemusnahan besar dan memaksa pasukan penyelamat menggali runtuhan untuk mencari mangsa.
Penduduk Israel menggambarkan siri serangan peluru berpandu Iran sejak Jumaat sebagai 'ketakutan, kekacauan dan kekeliruan' kerana menyebabkan kemusnahan yang meluas, membunuh sekurang-kurangnya 11 orang dan mencederakan beratus-ratus yang lain.
Berjuta-juta lagi rakyatnya terpaksa bersembunyi di tempat perlindungan sebaik sahaja siren amaran dibunyikan.
INFO Misil
Haj Qassem
Jarak jangkauan: 1,200 kilometer, mampu menyerang sasaran di seluruh Asia Barat.
Sistem panduan: Dilengkapi dengan sistem panduan imej terma dan optical guidance, boleh mengenai sasaran dengan ketepatan tinggi tanpa bergantung kepada GPS.
Reka bentuk: Menggunakan badan gentian karbon yang sukar dikesan radar dan tahan terhadap gangguan elektronik.
Manuver: Direka untuk mengatasi sistem pertahanan berlapis termasuk Iron Dome, dengan keupayaan manuver atau mengelak yang tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!